Monday, September 23

Karnival Mini Gawai di Betong menepati konsep 1Malaysia

0

BETONG: Karnival Mini Gawai yang dianjurkan di sini amat bersesuaian dengan konsep 1Malaysia, khususnya di kalangan penduduk Betong yang berbilang kaum.

Pengurus Cawangan Eyework Optical Group (M) Sdn Bhd, Chong Kwan Lim berkata program itu adalah salah satu cara pihak syarikat membalas sokongan penduduk tempatan sejak pembukaan cawangan kedai cermin mata itu di sini pada April tahun lalu.

“Bagi menghargai sokongan pelanggan yang terdiri daripada pelbagai kaum di sini, pihak kami menganjurkan Karnival Mini Gawai sebagai penghargaan untuk semua.

“Kita harap penduduk dapat menikmati kegembiraan dan kehangatan sambutan Hari Gawai pada tahun ini,” katanya ketika ditemui pemberita kelmarin.

Di samping itu, tambah Chong, program tersebut selaras dengan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Program kita anjurkan di tengah-tengah mercu tanda bandar Betong iaitu di kawasan replika pokok getah. Ini memberi peluang kepada penduduk merasai kehangatan Gawai di mana kawasan ini menjadi tumpuan penduduk yang mendapatkan keperluan harian mereka.

“Kita turut mengundang artis Iban iaitu Melissa Francis bagi menghiburkan pengunjung. Di samping itu, turut diselitkan dengan acara bermukun serta bertandak, sukaneka dan pemberian angpau Gawai,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk tempatan agar terus memberi sokongan kepada syarikat berkenaan yang beroperasi setiap hari di kawasan Medan Hotel Betong.