Monday, August 19

Masalah air di Sepupok dijangka berakhir pertengahan Jun

0

MIRI: Masalah gangguan bekalan air di kawasan Sepupok, Niah dijangka bakal berakhir seawal pertengahan Jun ini.

Menurut jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR), masalah berkenaan akan selesai setelah loji bekalan air utama beroperasi pada pertengahan Jun atau selewat-lewatmya awal Julai.

“Pihak kami (JKR) sedar akan masalah gangguan bekalan air oleh penduduk kawasan terbabit,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Katanya, kini terdapat beberapa masalah timbul disebabkan oleh kerja-kerja pemeriksaan paip sambungan yang dilaksanakan pihaknya.

Sepupok, menurutnya, mengalami gangguan paling teruk kerana menerima tekanan air paling rendah antara kawasan-kawasan lain.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya ada memberikan bekalan air di kawasan tersebut sejak gangguan bekalan air berlaku baru-baru ini.

“Kita faham kesulitan yang dialami penduduk akibat gangguan bekalan air yang berlaku, tetapi kami harap mereka bersabar,” jelasnya.

Pihaknya juga memohon maaf dan berjanji akan melakukakan yang terbaik agar masalah berkenaan dapat diatasi segera.

Semalam, pejabat Utusan Borneo Miri menerima panggilan telefon daripada penduduk di kawasan berkenaan memberitahu tentang masalah tersebut.