Penyokong Pahang dan Johor DT diminta ikut arahan

0

KUALA LUMPUR: Polis meminta penyokong dan penonton yang ingin menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini supaya masuk ke stadium mengikut pintu yang ditetapkan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, penyokong Pahang boleh memasuki stadium menerusi pintu berwarna merah, kuning dan hijau serta duduk di tempat duduk berhampiran.

“Mereka boleh meletakkan kenderaan di tempat letak kereta bahagian kiri stadium iaitu tapak A dan B serta kawasan di sekitar Bukit Komanwel,” katanyapada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di sini semalam.

Bagi penyokong Johor dan penonton dari negeri lain, mereka boleh meletakkan kenderaan di tapak C, D dan E serta sekitar kawasan Majlis Sukan Negara di BukitJalil.

Amar Singh berkata pintu yang boleh digunakan oleh penyokong Johor DT ialah berwarna ungu dan biru iaitu sebelah kanan stadium.

“Dijangka 60,000 penyokong akan melalui pintu penyokong Pahang dan 20,000 akan memasuki pintu penyokong Johor DT,” katanya.

Langkah itu, katanya, dibuat bertujuan mengurangkan kesesakan atau orang berjalan jauh sekali gus mengelakkan provokasi kepada penyokong kedua-duapasukan.

Selain itu mereka juga dilarang membawa barangan seperti botol air mineral/berperisa, mercun/bunga api, topi keledar, laser, mancis/pemetik api, sebarang objek tajam (besi/kayu), senjata seperti parang dan lain-lain, minumankeras, payung, tongkat, vuvuzela dan suar.

Beliau berkata barangan itu akan dirampas sebelum penonton dibenarkan masuk ke stadium manakala mereka yang membawa objek tajam dan senjata pula akan ditahan.

“Kami akan menempatkan anggota polis dan Rela di setiap pintu masuk untuk membuat pemeriksaan ke atas setiap penyokong,” katanya.

Bagi mengelakkan kesesakan, penyokong juga digalakkan datang awal dan pintu stadium akan dibuka pada jam 5.30 petang. — Bernama