Saturday, February 22

Polis teliti rekod kesihatan remaja yang ditemui mati

0

Siasatan awal mendapati mangsa mengalami sesak nafasMELAKA: Polis akan meneliti rekod kesihatan remaja perempuan yang mayatnya ditemui di tempat pembuangan sampah di Kampung Solok Gaung, Ayer Molek Rabu lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Melaka Supt P. R. Gunarajan berkata ini kerana siasatan awal mendapati mangsa mengalami sesaknafas sebelum meninggal dunia.

“Soal siasat ke atas suspek lelaki berusia 17 tahun yang ditahan susulan penemuan mayat mangsa, mendapati mereka ke lokasi kejadian dengan menaiki motosikal kira-kira jam 9 malam sebelum mangsa mengalami sesak nafas.

“Suspek cuba melakukan bantuan pernafasan namun gagal, dan dia yang panik dengan keadaan itu bertindak meninggalkan mangsa di situ,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Menurutnya hasil bedah siasat ke atas mayat remaja itu juga gagal mengenal pasti punca kematian kerana keadaan mayat yang mula mereput.

Dalam kejadian 7 malam Rabu, mayat Aimi Hamizah Mohamad, 14, ditemui sekumpulan remaja kampung itu yang dalam perjalanan pulang selepas bermain bola sepak di padang berhampiran lokasi kejadian.

Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Ayer Molek itu dilapor hilang selepas gagal pulang ke rumahnya di Taman Desa Molek, di sini Isnin lepas, setelah keluar untuk ke kelas mengaji al-Quran kira-kira jam 7.40 malam.

Mayat anak perempuan tunggal daripada tiga beradik itu ditemui lengkap berpakaian dalam keadaan terlentang di atas sekeping papan lapis di tapak pembuangan sampah tersebut, empat kilometer dari rumahnya.

Susulan penemuan mayat itu, polis menahan seorang remaja lelaki di sebuah  rumah di taman perumahan yang sama dengan mangsa.

Mengulas lanjut, Gunarajan berkata remaja lelaki itu yang belajar di sekolah yang sama dengan mangsa mengaku telah lama berkenalan dengan mangsa serta sering berbalas mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Katanya, soal siasat ke atas remaja itu turut mendapati suspek membawa lari beg mangsa yang mengandungi dua buah buku dan telefon bimbit, yang kemudian ditinggalkan di sebuah surau berhampiran lokasi mayat.

Remaja itu direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya. — Bernama