Sambutan Gawai pasti meriah di rumah panjang, kampung

0

KUCHING: Sambutan Gawai cuma dirasa meriah jika ia disambut di rumah panjang ataupun di kampung kerana di situ sahajalah suasana kemeriahan dapat dirasai, ditambah lagi kemeriahannya, bila elemen-elemen tradisional digabungkan dengan moden.

Pembantu peribadi kepada seorang pengurus besar sebuah hotel antarabangsa di Kuala Lumpur, Sian Branca Unggang Kato, 45, dari Betong berkata Hari Gawai Dayak amat istimewa buat dirinya kerana pada masa inilah dia dapat meluangkan waktu cuti panjang setahun sekali balik ke rumah panjang keluarga mereka di Betong.

“Walaupun sudah lama merantau di negeri orang, satu pekara yang akan buat saya balik tiap-tiap tahun adalah sambutan Hari Gawai di rumah panjang,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

Sian berkata, sambutan Gawai di Kuala Lumpur tidak semeriah di Sarawak kerana di bandar-bandar besar, sambutan hanya akan diadakan selepas Hari Gawai, sedangkan pada masa itu di Sarawak, perayaan sudah sampai ke penghujungnya (‘ngiling tikai’).

“Kalaulah di KL ada tempat nak lepaskan rindu tengok perhiasan Hari Gawai di pasar raya dan gedung beli-belah, pasti seronok,” kata Sian yang mengharapkan suatu ketika nanti Kementerian Pelancongan Malaysia boleh mengesyorkan ‘mood’ perayaan Gawai di pusat tumpuan dan perniagaan di Kuala Lumpur.

Bagi pasangan suami isteri yang baharu mendirikan rumah tangga pula, Esther Nyala, 19, dengan suaminya, Henry Kandau, 20, dari Empayang, Roban Saratok, pengalaman balik kampung sebelum perayaan Gawai adalah sesuatu yang biasa kerana mereka sebelum ini pernah bekerja di Semenanjung Malaysia.

Henry yang bertugas sebagai pegawai bomba di Lundu memang bergantung 100 peratus kepada kenderaan awam, apatah lagi mereka belum lagi mempunyai kenderaan sendiri.

“Sekarang ini nak balik kampung lebih mudah kerana pengangkutan awam sudah moden. Kalau dulu nak tunggu bas pun dalam cuaca yang panas tapi di Kuching Sentral, semua tempat berhawa dingin.

“Bila bas sampai, kita naik sahaja, tak perlu nak tunggu lama. Perjalanan ke Saratok pun tak sampai lima jam,” kata Henry lagi.

Sementara itu, penuntut Tahun Pertama, Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, UNIMAS Masam Langi, 21, dari Rumah Bigat, Selangau, Sibu berkata percutian Hari Gawai ini bukanlah sesuatu yang meriah buat dirinya kerana selepas lima hari, dia harus bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan semester.

“Nak balik pun mungkin nak luangkan masa bersama keluarga sahaja dan mungkin tidak lama di rumah panjang kerana masa terlalu singkat untuk bercuti panjang,” katanya yang menunggu bas ke Kampung Arip Selangau yang akan bertolak dalam jam 11.30 pagi.

Bagi Masam, pengangkutan di bandar raya Kuching efisien sebab kebanyakan pengangkutannya kini sudah moden dan tidak terlalu mahal.