Syukuri, hargai pencapaian hidup

0

PENUH TRADISI: Dennis ketika melakukan upacara ‘ranyai” pada satu majlis sambutan Pra-Gawai Dayak baru-baru ini.

Sambutan Gawai tidak harus dicemar tragedi menyayat hati, kata Dennis

MIRI: Sambutan Gawai Dayak harus diperluaskan dengan konsep bersyukur dan berterima kasih ke atas pencapaian diri dalam hidup.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, sambutan tidak harus dicemar dengan tragedi yang boleh menyayat hati semua rakan dan ahli keluarga.

“Sesiapa pun tidak mahu melihat atau mengalami tragedi terutamanya rakan dan keluarga masing-masing dalam suasana sambutan yang sepatutnya diraikan dengan gembira,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Menurutnya, segala aspek yang menyentuh keselamatan harus dititikberatkan walaupun kadang kala dipandang enteng oleh masyarakat.

“Patuhi peraturan pihak berkuasa sama ada menggunakan jalan raya, air, penerbangan atau apa-apa sahaja kenderaan untuk balik ke kampung,” jelasnya.

Sebagai contoh, peraturan jangan memandu ketika mengambil minuman beralkohol adalah sesuatu yang sering dipandang remeh.

“Tidak boleh pejam sebelah mata (pandang ringan) kerana ia bukan sahaja melibatkan nyawa diri, malah pengguna jalan raya lain juga,” tambahnya.

Mengenai konsep asal sambutan Gawai yang sebenarnya mengucapkan rasa syukur ke atas hasil tuaian padi, Dennis mengatakan kini ia jauh dari keadaan sebenar.

Walau bagaimanapun, katanya, elemen berterima kasih masih boleh diungkapkan dengan mendapat rezeki daripada pendapatan bergaji atau upah seiring dengan zaman yang telah berubah.

Beliau pada masa sama sempat mengucapkan Selamat Gawai Dayak kepada rakan-rakan yang menyambut perayaan berkenaan.