Saturday, December 7

Jangan sebar berita palsu mengenai kematian tahanan di Tampin, kata Polis

0

SEREMBAN: Polis meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita palsu mengenai kematian seorang tahanan di lokap Balai Polis Tampin, dekat sini lewat petang kelmarin.

Ketua Polis Negeri Datuk Osman Salleh berkata, kejadian itu masih dalam siasatan dan menafikan ia ada kaitan dengan unsur jenayah sama ada mangsa dipukul atau didera.

“Dalam Twitter contohnya kita dapati banyak spekulasi dibuat mengenai kematian tahanan tersebut dan menuduh kejadian itu adalah angkara polis. Ini sebenarnya tidak adil kepada polis.

“Ini adalah ‘straight forward case’ di mana pihak Hospital Tampin sendiri yang membuat pemeriksaan terhadap mayat mangsa mendapati tidak ada kesan kecederaan seperti luka atau lebam pada badan mangsa,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Kelmarin, P.V Karuna Nithi, 42, yang ditahan sejak Selasa lalu selepas memukul isterinya ditemui tidak sedarkan diri oleh anggota polis bertugas di lokap berkenaan bagaimanapun masih bernafas sekitar jam 6.30 petang.

Polis kemudiannya bertindak memanggil ambulans dari Hospital Tampin, tetapi pasukan paramedik yang tiba mengesahkan kematiannya pada jam 7 petang.

Osman berkata, pihak polis sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup di lokap berkenaan dan mendapati tiada sebarang kekerasan berlaku ke atas mangsa sepanjang penahanannya.

Katanya, seorang koroner dari Mahkamah Seremban juga telah datang melihat mayat mangsa semasa di lokap dan mengesahkan tiada kesan luka, lebam atau kecederaan padan badan mangsa.

“Hasil bedah siasat oleh pihak Hospital Tuanku Ja’afar Seremban juga mendapati tiada kecederaan fizikal pada badan mangsa, bagaimanapun punca sebenar mangsa meninggal dunia belum dapat dikenal pasti,” katanya.

Katanya, Jumaat lalu mangsa yang tidak bekerja telah didakwa di Mahkamah Majistret Tampin dan mengaku bersalah di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas tuduhan memukul isterinya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 sementara menunggu hukuman ke atasnya dijatuhkan pada 1 Julai depan.

“Keluarga tertuduh yang kekurangan wang merayu untuk membayar ikat jamin tersebut pada esok (Isnin) dan polis telah menempatkan mangsa di lokap tersebut bagi memudahkan proses jaminan itu,” katanya. — Bernama