Keputeraan Agong: 300 orang terima sumbangan

0

KUCHING: Sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Ke-14 Peringkat Negeri di Dewan Suarah Kota Samarahan membawa seribu makna kepada 300 individu apabila mereka menerima sumbangan khas yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin.

Malah, kesemua penerima turut bersama-sama menghadiri majlis jamuan teh bersama Tun Salahuddin yang ditemani isteri Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah serta Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Puan Sri Ragad Kurdi Taib.

Antara tetamu kehormat lain yang hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Alfred Jabu Numpang bersama isteri Dato Sri Empiang Jabu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohammad Morshidi Abdul Ghani, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah dan Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Abdul Karim Rahman Hamzah.

Kesemua 300 penerima sumbangan terdiri daripada penghuni institusi-institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat, penghuni NGO serta penerima dari daerah Samarahan dan Asajaya.

Dalam majlis jamuan teh itu juga pelbagai persembahan menarik turut dianjurkan seperti persembahan lakon beradat, orkestra angklung, tarian rumpun, bermukun dan bertandak.

Selain itu, pelbagai gambar dan informasi berkaitan institusi beraja negara dapat disaksikan apabila mengunjungi pameran bergambar Jabatan Penerangan yang bertajuk ‘Raja Kita’ bermula 1 hingga 3 Jun di Dewan Suarah Kota Samarahan.

Pameran tersebut diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Ia merupakan peluang baik kepada masyarakat terutama pelajar untuk mengunjungi pameran itu terutama pada cuti umum.

Antara pameran bergambar lain berkaitan institusi beraja termasuk pakaian, peralatan, anugerah, nobat dan aktiviti raja di dalam dan luar negara.

Pameran itu diadakan secara bersegmen bermula dari sejarah dan latar belakang Raja, aktiviti dan majlis pelantikan dua tahun lepas.

Gambar pelbagai aktiviti Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin juga dipaparkan.

Pameran itu diadakan untuk memberitahu masyarakat tentang peranan dan jawatan instusi beraja serta konsep institusi beraja dalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia.

Sementara itu, 100,300,500 dan 1,000 pelawat pertama berpeluang memenangi hadiah misteri manakala yang berminat menyertai kuiz turut perpeluang membawa pulang hadiah.

Tahun ini Kota Samarahan menjadi tuan rumah menganjurkan sambutan peringkat negeri bermula dengan majlis kesyukuran pada 31 Mei di Masjid Samarahan diikuti jamuah teh di Dewan Suarah Kota Samarahan yang dihadiri Tun Salahuddin dan isteri Toh Puan Norkiah, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib serta pembesar negeri lain.

Tiada sebarang bayaran dikenakan dan orang ramai dinasihati supaya tidak terlepas mengunjungi pameran tersebut yang bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang.