Akta Perikanan 1985: Jabatan Perikanan akan bincang semula

0

PUTRAJAYA: Jabatan Perikanan akan berbincang semula dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), berhubung penguatkuasaan Akta Perikanan 1985, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata perbincangan itu bagi melihat semula bidang kuasa pihak jabatan dalam menangani masalah nelayan di kawasan perairan Zon A (antara 0 hingga lima batu nautika).

“Sekarang pihak jabatan hanya boleh mengawal selia akta itu dan tidak mempunyai kuasa dalam aktiviti penguatkuasaan terutama membabitkan ancaman pencerobohan pukat tunda melibatkan nelayan asing.

“Kalau kita tidak diberi kuasa penuh pun, sekurang-kurangnya dapat mengawal bersama atau penurunan kuasa kepada kementerian atau jabatan kerana kita ada kepakaran mengenai nelayan,” katanya kepada pemberita selepas diberi taklimat mengenai Jabatan Perikanan di sini semalam. — Bernama

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata pihak kementerian akan terus menumpukan kepada usaha bagaimana mempertingkat pendapatan nelayan serta menambah pengeluaran ikan.

Beliau berkata beberapa pendekatan akan diambil antaranya menggalakkan nelayan terlibat dengan aktiviti ternakan ikan akuakultur.

“Kaedah itu dilihat lebih mudah dan terkawal berbanding menangkap ikan di laut yang pendapatannya di luar kawalan serta berisiko tinggi. Sasaran kita ialah nisbah aktiviti akuakultur dan tangkapan di laut kepada 50:50 berbanding 80:20 sekarang,” katanya.

Nelayan juga, katanya, digalakkan terbabit dengan projek bernilai tinggi seperti ikan hiasan dan rumpai laut.

Beliau berkata Jabatan Perikanan juga bercadang mewujudkan Bahagian Perdagangan Perikanan bagi memastikan hasil keluaran daripada aktiviti-aktiviti itu dapat dipasarkan dengan lebih baik dan meluas. — Bernama