Gawai tetap disambut semua lapisan rakyat negeri ini

0

SELAMAT HARI GAWAI: Nancy (tengah) bersama Naroden merakam kenangan bersama penduduk di Kampung Tinting Tuba, Simunjan.

SIMUNJAN: Hari Gawai tetap disambut semua lapisan rakyat di negeri ini meskipun mempunyai pelbagai kaum dan agama, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Beliau memberitahu, ia membuktikan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat yang tinggal di Sarawak sejak dahulu lagi terus kekal menjadi amalan rakyat di negeri ini.

“Setiap kali tibanya musim perayaan tidak kira orang Melayu, orang Iban, orang Cina, orang India dan sebagainya kita bersama-sama meraikannya dengan aktiviti kunjung mengunjung.

“Ini membuktikan semangat perpaduan dan hormat menghormati antara satu sama lain masih kita amalkan dan kekal sehingga kini,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Perayaan Gawai 2013 di Kampung Tinting Tuba, Simunjan Sabtu lalu.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong memberitahu bahawa beliau akan cuba mengatur masa untuk sentiasa bertemu dengan rakyat di kawasannya.

“Walaupun kebanyakan masa saya akan berada di Kuala Lumpur atas kekangan tugas sebagai menteri, saya akan cuba mengatur masa untuk sentiasa bertemu dengan rakyat di Batang Sadong ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais mengingatkan masyarakat Dayak yang meraikan Gawai agar menyambut perayaan itu secara bersederhana.

“Janganlah kita terlalu membazir sehingga menyusahkan diri kita sendiri,” tambahnya.

Pada majlis itu, penduduk melahirkan rasa gembira dengan kehadiran dua wakil rakyat di kawasan itu dalam bersama-sama dengan mereka meraikan sambutan Gawai Dayak.