Operasi cari, selamat ekspres karam diteruskan

0

Hanya dua mangsa sahaja yang masih hilang iaitu Roslin Jati dan Maurice Ajan, kata Bakar

BINTULU: Operasi mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan semalam bagi mencari dua lagi mangsa bot ekspres karam di Giam Bungan Sungai Rajang yang masih hilang ekoran tragedi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Belaga DSP Bakar Sebau berkata seorang lagi mangsa yang dilaporkan hilang iaitu Pau­lus Ungkang dilaporkan terselamat oleh saudaranya dan sudah dimaklumkan kepada Balai Polis Belaga semalam menjadikan hanya dua mangsa sahaja yang masih hilang iaitu Roslin Jati dan Maurice Ajan.

“Jumlah ini menjadikan seramai 207 penumpang disahkan terselamat dalam insiden terbabit dengan dua lagi masih hilang,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, dalam operasi yang memasuki hari keenam selepas insiden berlaku pada pagi Selasa lalu, pihaknya den­gan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pegawai berkaitan yang lainnya memu­lakan operasi seawal jam 8.30 pagi hingga 4 petang.

“Bagaimanapun, masa op­erasi bergantung kepada pasang dan surut Sungai Rajang yang amat berbahaya berikutan arus sungai deras pada masa sekarang ditambah dasar dan tepian sungai yang dipenuhi batu jeram yang amat tajam,” ujarnya.

Setakat ini, hanya seorang disahkan terkorban dalam insiden terbabit iaitu Tujoh Lah, 44, berasal dari Rumah Sking Nanga Merit, Kapit yang mayatnya dijumpai tera­pung oleh anggota mencari dan menyelamat pada Khamis lalu di kawasan berdekatan Uma Tevok.

Setakat ini, selain mencari dua lagi mangsa masih hilang, pihaknya sedang mencari jalan bagi mengapungkan bot ekspres yang terbalik itu bagi memudahkan sisatan terperinci dijalankan.

“Pihak kami berusaha mendapatkan khidmat sebuah kren daripada sebuah kem pembalakan berdekatan bagi membantu menjalankan kerja mengapungkan bot ekspres berkenaan,” tambahnya.

Apabila ditanya bila kren terbabit dapat digunakan bagi tujuan menarik serta menga­pungkan bot ekspres terbabit dari dasar sungai, Bakar ber­kata ia akan mengambil masa beberapa hari memandangkan laluan bagi membawa kren terbabit perlu dibina terlebih dahulu sebelum dapat dibawa ke lokasi kejadian.

“Tambahan pula, keadaan geografi yang berbukit-bu­kau agak menyukarkan la­luan membawa kren dibina sekali gus melambatkan usaha membawa kren ke lokasi ke­jadian,” katanya.