Saturday, September 19

Papan amaran buaya perlu dipasang di jalan masuk ke kawasan Beraya

0

JANGAN DISANGKA TIADA BUAYA: Sungai cetek di Beraya Lama yang mempunyai buaya.

MIRI: Sarawak Forestry Corporation (SFC) disaran memasang papan tanda ama­ran buaya di hadapan jalan masuk di kawasan Beraya dan Beraya Lama Estuary Lambir di sini.

Cadangan itu dikeluarkan oleh Pengerusi Persatuan Pencinta Alam (MNS) Ca­wangan Miri Musa Musbah berikutan kejadian seeokor anjing milik ekspatriat diba­ham buaya ketika bersiar-siar di kawasan itu baru-baru ini.

Beraya Lama Estuary ter­letak kira-kira 25km di barat Miri dan 150 meter dari persimpangan Beraya Lama di Jalan Pesisir Pantai Miri-Bintulu.

“Sebatang jalan berturap dibina untuk membolehkan orang ramai bersiar-siar atau berkelah di pantai.

“Selain itu, tempat ini popular bagi pengguna jalan raya Miri Bintulu yang mela­lui tempat tersebut.

“Justeru, kami mencadan­gkan agar dipasang papan tanda untuk memberitahu kewujudan buaya agar orang awam lebih berhati-hati dan berwaspada semasa melaku­kan aktiviti riadah di sana,” katanya di sini semalam.

Pada 26 Mei lalu, ekspariat Natascha Caldenhove ber­sama rakannya dan seekor anjing bernama Panda ber­siar-siar di Beraya Lama.

Seperti kebiasaan sebelum ini, anjing tersebut berenang di sungai yang cetek itu.

“Sungai kecil ini sebe­narnya tidak bersambun­gan dengan laut, namun semasa kejadian air sedang bah menyebabkan air laut melimpah masuk ke dalam sungai tersebut menjadikan muara sungai dalam.

“Semasa kejadian, Panda berenang masuk ke dalam sungai tersebut sebelum dili­bas dan terus dibaham buaya tersebut,” ceritanya.

Musa menambah, semalam beliau ternampak sebuah keluarga bersama dua kanak-kanak berada di tebing sungai dan berlari-lari mahu terjun ke dalam sungai.

“Mujurlah saya nasihatkan mereka agar tidak terjun ke sungai tersebut iaitu tempat di mana Panda dibaham oleh buaya,” katanya.

Sementara itu, difahamkan penduduk di Beraya selalu memasang pukat di sungai tersebut kerana ia tidak dalam dan setakat ini tiada laporan serangan buaya dilaporkan berlaku.

Menurut dua wanita yang sedang memancing di ka­wasan itu, hanya sekali buaya dilihat di kawasan itu oleh seorang nelayan pada waktu malam dan berlaku beberapa tahun lalu.

BAHAYA: Buih-buih yang timbul di permukaan sungai dipercayai kesan kehadiran buaya yang membaham anjing bernama Panda.