Pekebun kecil perlu fokus capai pendapatan tinggi

0

KENANGAN GAWAI: Uggah dan isterinya merakam kenangan bersama tetamu pada majlis itu.

67,000 pekebun kecil di negeri ini bakal menikmati perubahan dari segi peningkatan pendapatan

BETONG: Dianggarkan 710,000 pekebun kecil di seluruh negara dengan 67,000 daripadanya dari negeri ini bakal menikmati perubahan dari segi peningkatan pendapatan mereka sebagaimana yang dirancang di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Menterinya Dato Sri Douglas Uggah Embas berkata, pekebun kecil perlu memberi fokus dan hala tuju yang harus dicapai bagi meningkatkan pendapatan mereka agar setaraf dengan pendapatan dalam bidang- bidang lain.

“Kita harus memastikan pada 2020 pendapatan negara akan terus meningkat dan berkeupayaan mencapai status negara maju.

“Maknanya, setiap pekebun kecil harus berupaya mencapai objektif kementerian yang merancang bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dan mampu bersaing dengan menambah pendapatan.

“Apa yang sedang saya fikirkan ialah pekebun kecil harus berupaya mempelbagai tanaman dalam satu masa bagi membantu menjana hasil pendapatan mereka di samping mempertahan harga sesuatu tanaman,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Gawai Peringkat Bahagian Betong di sini kelmarin.

Uggah memberitahu, kementeriannya menggalakkan pekebun menanam pelbagai komoditi seperti getah, kelapa sawit, lada hitam atau pokok kenaf.

“Jika harga satu-satu komoditi turun, getah contohnya mungkin dengan pengekalan atau peningkatan harga kelapa sawit atau lada hitam dapat membantu menokok tambah dan pendapatan petani tidak akan terjejas,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata harga komoditi harus sentiasa terkawal bagi menentukan komoditi seperti kelapa sawit, getah, lada hitam, tembakau mampu bersaing dengan negara pengeluar yang lain.

Di samping itu, katanya bagi menentukan pendapatan negara terus berkembang dan hasil komoditi terus kukuh kementerian berusaha memastikan pekebun-pekebun berjaya memasarkan produk ke peringkat dunia.

“Apapun syarat-syarat untuk kelulusan dalam pasaran dunia seperti pensijilan serta tanda dan cop pengeluaran dapat dipatuhi,” jelasnya.

Uggah yang baharu sahaja memegang jawatan dan dilantik menteri di kementerian tersebut, menganggap tugasan baharunya sesuatu yang mencabar dan perlu diberi perhatian bagi memastikan peningkatan pendapatan pekebun dan setaraf dengan kakitangan kerajaan.

Katanya masyarakat di sini telah sampai ke satu tahap yang boleh dibanggakan dan kita juga telah mempelajari banyak perkara dalam kejayaan yang dicapai.

“Dalam menentukan hala tuju kejayaan tersebut, perlu ada perancangan yang teliti bagi merintis jalan dan usaha setanding dan sebaris dengan masyarakat lain.

“Kita perlu mengeratkan perpaduan kaum kerana ini dapat memastikan negara akan terus maju dan membangun,” katanya.

Beliau berharap rakyat tahu peranan masing-masing, bekerja kuat dan mencari jalan memanfaatkan penggunaan teknologi terkini supaya dapat mencapai kejayaan dalam apa juga bidang yang diceburi.