RM11,789.20 berjaya dikumpul bantu mangsa kebakaran di Rumah Jubang

0

DIBANTU: Maria (lima kiri) menyampaikan sumbangan derma kepada Tuai Rumah Jubang (tiga kiri) sambil diperhatikan Suhandi (empat kiri) di Limbang baru-baru ini.

LIMBANG: Sejumlah RM11,789.20 berjaya dikumpul oleh orang ramai termasuk agensi kerajaan, swasta, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak lain bagi membantu mangsa kebakaran di Rumah Jubang yang berlaku Disember tahun lalu.

Kutipan derma tersebut diserahkan kepada mangsa Rumah Jubang Tanah Merah Medamit Khamis lalu oleh Residen Limbang Maria Hasman.

Maria berkata, kutipan derma itu dilancarkan beberapa hari sebaik kejadian tragis itu berlaku Disember lalu.

“Kutipan ini bermula dengan menulis surat kepada pihak berkaitan serta penduduk kampung untuk membantu mangsa kebakaran.

“Sebanyak 22 kampung di Limbang turut menyumbang wang tunai termasuk pihak sekolah rendah dan menengah serta Global Peace Loving Family Kuching iaitu penderma yang paling banyak menyumbang wang untuk membantu mangsa,” katanya di sini.

Setakat ini, katanya sejumlah derma tersebut sudah dimasukkan ke dalam akaun bank JKKK Rumah Jubang untuk membina rumah panjang baharu.

Maria berharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban mangsa kebakaran selain merakamkan penghargaaan kepada para penderma.

Turut hadir pada majlis penyerahan sumbangan itu Timbalan Pegawai Daerah Limbang Suhandi Tugiman dan Pegawai Tadbir Pejabat Residen (Pembangunan) Saiful Bahri Alwi.