Martinez bakal terajui Everton

0

LONDON, England: Roberto Martinez dijangka akan dilantik sebagai pengurus baru Everton selepas pengerusi Wigan, Dave Whelan mendakwa Isnin lepas di mana beliau sudah bersetuju dengan bayaran pampasan dengan Everton.

Martinez merupakan pilihan utama Everton untuk menggantikan David Moyes di Goodison Park selepas membimbing Wigan memenangi Piala FA dengan menewaskan Manchester City di final.

Pengurus berusia 39 tahun itu mengesahkan beliau akan meninggalkan Wigan selepas kelab itu tersingkir dari Liga Perdana Inggeris awal bulan ini dan Whelan meluluskan permintaan beliau selepas berunding bayaran pampasan sekitar 1.5 juta pound.

“Bill Kenwright (Pengerusi Everton) dan saya sudah mencapai satu perjanjian,” kata Whelan ketika memberitahu BBC Sport Isnin lepas.

Martinez, yang menolak tawaran dari Liverpool dan Aston Villa dalam dua tahun terakhir, dijangka akan disahkan sebagai pengurus baru Everton pada lewat minggu ini.

Martinez sudah berbincang dengan Everton atas kebenaran Whelan tetapi persetujuan bayaran pampasan bermakna beliau juga dibenarkan membincangkan terma kontrak.

“Beliau akan bercakap kepada Everton kerana saya memberikannya kebenaran,” kata Whelan.

“Apabila beliau kembali, beliau memberitahu ia berjalan dengan lancar dan beliau mungkin hanya mempunyai beberapa isu kecil.

“Dan kemudian pengerusi menghubungi saya dan membincangkan pembayaran pampasan dan kami sudah mencapai persetujuannya malam ini.”

Walaupun Martinez gagal mengekalkan Wigan dalam Liga Perdana Inggeris musim ini, beliau masih dianggap salah seorang pengurus muda berkebolehan di England.

Beliau berjaya mengekalkan Wigan bermain kompetetif dalam Liga Perdana walaupun status kelab sebagai salah sebuah kelab kecil liga dan mengelak penyingkiran tiga kali sebelum ini selain mempamerkan aksi menarik.

Kualiti itu dilihat memujuk Kenwright untuk memilih Martinez berbanding calon seperti jurulatih FC Porto, Vitor Pereira dan pengurus besar Red Bull Salzburg, Ralf Rangnick. — AFP