Gagal isytihar cukai menurun

0

PERKEMBANGAN POSITIF: Mohd Shukor ketika menyampaikan ceramah pada Seminar Pengurusan Organisasi Cemerlang di Kuching, semalam.

KUCHING: Kurang daripada 20 peratus pembayar cukai gagal mengisytiharkan cukai pendapatan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Tan Sri Datuk Dr Mohd Shukor Mahfar berkata, LHDNM percaya trend penurunan itu adalah hasil program pendidikan dan kesedaran di kalangan pembayar cukai.

“Kalau dilihat jumlah mereka yang gagal mengisytihar cukai pendapatan, ia sudah berkurangan berbanding dahulu iaitu berada pada kadar 30 peratus.

“Namun, sekarang sudah mencapai kurang 20 peratus dan lembaga (yakin) dapat kurangkan lagi melalui program pendidikan dan kesedaran. Apa yang pasti, kita kini berada di landasan yang betul,” katanya ketika ditemui pada Seminar Pengurusan Organisasi Cemerlang anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, semalam.

Beliau yang menyampaikan ceramah mengenai ‘Pengurusan Organisasi Cemerlang: Kreativiti dan Inovasi dalam Pengurusan’ pada seminar itu menjelaskan, kadar berkenaan bukan satu isu besar, sebaliknya ia berkaitan dengan masa untuk memberi kesedaran di kalangan masyarakat.

Tambah Mohd Shukor, LHDNM mahu masyarakat sedar dan tahu bahawa cukai sebenarnya adalah aset masyarakat, yang mana hasil kutipan cukai akan digunakan kerajaan untuk melaksanakan program pembangunan rakyat.

“Sehubungan itu pada tahun ini, LHDNM menggunakan ‘tagline’ Hasil Teman Ceria Anda (Hasil Your Feel Good Partner) kerana kita mahu masyarakat berasa seronok dengan adanya pembangunan di negara ini,” ujarnya.

Mengulas mengenai sasaran kutipan cukai pada tahun ini, Mohd Shukor berkata, beliau percaya sasaran RM130 bilion dijangka dapat dicapai sekiranya keadaan ekonomi domestik baik serta politik stabil.

“Sasaran pada tahun ini ialah RM130 bilion jika dibandingkan tahun lepas iaitu hampir RM125 bilion, yang bermakna peningkatan sebanyak RM5 bilion.

“Saya tidak tahu sama ada Kementerian Kewangan akan kekal dengan sasaran RM130 bilion kerana berdasarkan pengalaman sebelum ini, mereka akan semak semula sasaran yang saya percaya mungkin lebih daripada itu untuk dikutip,” jelasnya.

Tambahnya pada tahun lepas, LHDNM berjaya melepasi sasaran awal iaitu RM109 bilion apabila berjaya mencapai RM123 bilion mengikut sasaran semak semula pada September 2012.

Bagaimanapun, LHDNM berjaya mengutip RM124.99 bilion pada 31 Disember 2012, kata beliau.

Sementara itu, semasa menyampaikan ceramahnya, Mohd Shukor memberitahu, dalam usaha menggerakkan pembangunan negara, antara visi LHDNM adalah untuk menjadi pentadbir cukai terunggul menjelang tahun 2020.

Beliau berkata, LHDNM berusaha mengadakan pelbagai program selain menggunakan pendekatan baharu dalam pengurusan bagi mencapai matlamat berkenaan.

Katanya, antara formula kejayaan lembaga adalah dengan adanya kepimpinan yang berkualiti untuk membantu menguruskan kakitangannya.