Monday, December 6

Kerajaan Pahang sumbang RM50,000 bantu rawatan bayi hidap hypoglisemia

0

PERLU RAWATAN: Asyraf yang menghidap penyakit kurang gula dalam darah atau hypoglisemia sedang disusukan oleh bapanya menggunakan saluran makanan ketika lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri Shahaniza di rumahnya di Taman Desa Jaya, Bandar Jengka Pusat di Maran, semalam. — Gambar Bernama

MARAN: Penderitaan bayi lelaki berusia empat bulan yang  menghidap penyakit kekurangan gula dalam darah atau hypoglisemia mendapat perhatian kerajaan negeri yang semalam menyumbang RM50,000 untuk membantu kos rawatannya.

Sumbangan itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Datuk Shahaniza Shamsuddin kepada ibu bapa bayi itu di rumah mereka di Bandar Pusat Jengka, dekat sini semalam.

“Hari ini (semalam) saya mewakili kerajaan negeri Pahang menghulurkan bukan sahaja sumbangan moral tetapi juga bantuan kewangan sebanyak RM50,000 yang dapat membantu menambah segala perbelanjaan mereka sewaktu di Jerman nanti,” katanya  kepada pemberita selepas menziarahi keluarga itu.

Katanya, penyakit yang dihidapi Muhammad Asyraf Zaili jarang berlaku, dan hanya 20 orang dilaporkan menghidap penyakit berkenaan di seluruh dunia, manakala rawatan hanya boleh dilakukan oleh pakar di Jerman.

Anak pasangan Zaili Dolah dan Rashidah Ardani itu menghidap penyakit hypoglisemia sejak lahir memerlukan rawatan ujian radiologi khas bagi mengawal gula dalam badannya, serta pembedahan.

Kos rawatan bayi itu di Jerman dianggarkan berjumlah RM250,000.

Sehubungan itu, mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank Rasidah Ardani bernombor 1561 4130 7260, atau menghubunginya di 019-988 2647 atau 019-9321566. — Bernama