Jalan By Pass Kuala Baram akan lebih lancar

0

MIRI: Lalu lintas di Jalan By Pass Kuala Baram dijangka lebih lancar berikutan penggunaan lampu isyarat yang mula beroperasi semalam.

Menteri Muda Perhubungan, Datuk Lee Kim Shin berkata, penggunaan lampu isyarat ini mulai semalam bertepatan dengan masanya memandangkan cuti sekolah akan berakhir tidak lama lagi.

“Dengan adanya lampu isyarat ini, ia akan melancarkan lalu lintas di kawasan Permyjaya terutamanya pada waktu puncak.

“Sebelum ini, ramai pengguna jalan raya terutamanya ibu bapa membuat aduan mengenai kesesakan lalu lintas khususnya kawasan sekolah,” katanya pada majlis ringkas perasmian lampu isyarat di Permyjaya, di sini semalam.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata, lampu isyarat baharu yang terletak bersebelahan stesen minyak berhampiran Pusat Komersil E-Mart di Jalan By-Pass Kuala Baram itu akan memanfaatkan lebih 100,000 penduduk di sekitar Senadin, Permyjaya, Tudan dan Baram.

“Kita berterima kasih dengan penduduk di kawasan ini yang bersabar menunggu untuk melaksanakan kemudahan seumpama ini. Kita juga memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna jalan raya berikutan kelewatan pemasangan lampu isyarat tersebut,” katanya.

Beliau menambah, sebuah lagi lampu isyarat yang didirikan di hadapan persimpangan Sekolah Kebangsaan (SK) Tudan akan beroperasi mulai minggu hadapan.

Dalam perkembangan lain, Lee memberi jaminan bahawa kerja-kerja menurap laluan sepanjang tiga kilometer di persimpangan Pusat Komersil E-Mart akan siap menjelang penghujung Julai depan.

“Manakala, laluan dari persimpangan E-Mart ke Jambatan Asian di Kuala Baram dijangka siap sepenuhnya pada Ogos tahun ini. Sehubungan itu, saya berharap pengguna jalan raya bersabar sementara menunggu semua projek ini disiapkan,” katanya.