Stadium/Landas bukti keunggulan

0

KENANGAN: Barisan pemain pasukan Stadium/Landas merakamkan gambar kenangan bersama tetamu kehormat selepas dinobatkan sebagai johan pertandingan bola sepak 9 sebelah veteran MAKSAK Sarawak di Kuching semalam.

Benam Muzium/Perumahan dengan 2-1 untuk bergelar juara bola sepak veteran MAKSAK Sarawak

KUCHING: Gabungan Kelab Sukan Sosial dan Rekreasi Perbadanan Sta­dium Negeri Sarawak (Sta­dium) dan Kelab Sukan dan Sosial Jabatan Tanah dan Survei (Landas) muncul juara kejohanan bola sepak sembilan sebelah veteran MAKSAK Sarawak.

Keunggulan pasukan Sta­dium/Landas terbukti apabila mereka membenam cabaran pasukan gabungan Kelab Sukan Sosial dan Kebajikan Jabatan Muzium Sarawak (Muzium) dan Kelab Keba­jikan dan Sukan HDC (Pe­rumahan) dengan 2-1 pada perlawanan akhir di Padang Bola Sepak Yayasan Sarawak, di sini semalam.

Gol kemenangan pasukan Stadium/Landas dijaringkan pada masa tambahan (lima minit) selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa penuh perlawanan.

Sebelum itu, turut menyak­sikan dua perlawanan separuh akhir iaitu pertemuan pasu­kan Stadium/Landas yang mempunyai rekod tanpa ka­lah sepanjang perlawanan itu menang mudah (2-0) ke atas pasukan Perubatan.

Manakala Muzium/Peru­mahan menang tipis (1-0) ke atas Bandarayaku untuk menempah tiket ke perlawa­nan akhir.

Terdahulu, kejohanan tersebut dimulakan dengan perlawanan antara PDRM menentang Perubatan yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Perubatan menerusi sepakan penalti (7-8) selepas terikat tanpa jaringan pada masa penuh perlawanan.

Dalam pada itu, pemain dari pasukan gabungan Muzium/Perumahan iaitu Hamdan Edi, 54, dinobatkan sebagai pemain paling senior.

Manakala rakan sepasukan­nya, Mohamad Abdul La­tif (Tomang) dipilih sebagai penjaring terbanyak dengan meledakkan empat jaringan sepanjang kejohanan terse­but.

Sementara itu, Anugerah Pemain Terbaik diberikan ke­pada tiga pemain iaitu Johari Bujang (Perubatan), Ahmad Tuah Sait (Stadium/Landas) dan Aedi Julaihi (Muzim/Pe­rumahan).

Mengenai kejohanan terse­but, jurucakap penganjur, Marini Bujang berkata ini merupakan program tahunan yang disertai oleh sembilan pasukan dari pelbagai jabatan kerajaan yang berdaftar den­gan MAKSAK.

Kesemua sembilan pasukan yang bertanding dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A dan B, dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke peringkat separuh akhir dan pemenang seterusnya layak ke perlawanan akhir bagi merebut gelaran.

“Penganjuran kejohanan bola sepak veteran ini diharap dapat mengeratkan silatura­him di kalangan anggota (kak­itangan kerajaan) sekali gus memperkukuh perpaduan di kalangan kaum melalui sukan bola sepak,” katanya.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Sumber Manusia), Datu Misnu Taha merangkap Pengerusi Jawatankuasa dan Rekreasi Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Sarawak (MAK­SAK).

Turut hadir menyaksikan perlawanan akhir itu Penga­rah Yayasan Sarawak, Moha­mad Abu Bakar Marzuki serta para tetamu lain.

PEMAIN TERBAIK: Ahmad Tuah Sait (Stadium/Landas) dipilih sebagai pemain terbaik bersama dua lagi pemain, Johari Bujang (Perubatan) dan Aedi Julaihi (Muzium/Perumahan).

PENJARING TERBANYAK: Pemain pasukan gabungan Muzium/Perumahan, Mohamad Abdul Latif atau lebih dikenali sebagai Tomang muncul penjaring terbanyak (empat jaringan) sepanjang perlawanan.