Pusat penyelidikan marin Kepulauan Sugud ditubuhkan

0

PUSAT PENYELIDIKAN: Bangunan utama bagi Pusat Pemuliharaan Marin Kepulauan Sugud (SIMCA) di Pulau Billean. — Gambar Bernama

SANDAKAN: Sebuah pusat penyelidikan telah ditubuhkan untuk menambahbaik ekosistem marin di Pusat Pemuliharaan Marin Kepulauan Sugud (SIMCA) di timur Sabah.

Pusat Penyelidikan Marin Kepulauan Sugud (SIMRC) ditubuhkan susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) kelmarin di Pulau Billean di perairan Sandakan.

SIMRC, terletak di Billean, ialah usaha sama Jabatan Hidupan Liar Sabah, Reef Guardian Sdn Bhd dan Universiti Cardiff.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Pang Yuk Ming berkata SIMCA telah untuk lebih 12 tahun, memainkan peranan penting menguruskan pemuliharaan terumbu karang yang telah membawa manfaat kepada ekopelancongan dan perlindungan biodiversiti.

Kerajaan negeri Sabah pada 3 Dis, 2001, mengisytiharkan kawasan seluas 46,317 hektar terdiri daripada pulau-pulau Lankayan, Tegaipil dan Billean yang meliputi terumbu karang di kawasan cetek sebagai kawasan pemuliharaan, kini lebih popular dikenali sebagai SIMCA.

“Reef Guardian, yang dilantik untuk menguruskan SIMCA sepenuhnya dengan kerjasama rapat Jabatan Hidupan Liar Sabah, sedang menjalankan inisiatif baharu bersama-sama dengan Universiti Cardiff.

“Penubuhan pusat ini akan meningkatkan penyelidikan dan pemuliharaan ekosistem marin dan menilai kejayaan kawasan pemuliharaan secara saintifik.

“Kami bangga menjadi sebahagian inisiatif ini yang pastinya akan meningkatkan minat saintis tempatan dan antarabangsa dalam penyelidikan ekosistem terumbu karang di rantau ini, dan meningkatkan ekopelancongan di pantai timur Sabah,” katanya.

Pegawai Penyelidik Reef Guardian dan Pengurus SIMRC Davies Austin Spiji berkata objektif pusat itu termasuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam penyelidikan marin dan pemantauan menerusi latihan, bengkel dan penyelidikan bersama bagi pengurusan sumber marin dan pemuliharaan biodiversiti secara efektif.

Beliau berkata SIMRC juga menyediakan kemudahan latihan dan pembelajaran kepada universiti dan institusi antarabangsa untuk merasai sendiri pengalaman dalam ekosistem terumbu karang tropika.

“SIMRC juga akan membantu dalam pengisian semula spesies marin yang terancam dan penting untuk pengkomersilan di Sabah menerusi amalan marikultur dan menggalakkan kesedaran pemuliharaan marin kepada awam dan pemegang amanah tempatan,” katanya.

Pengarah Danau Girang Field Centre (DGFC) dan penyelidik bersama Universiti Cardiff Dr Benoit Goossens berkata penubuhan pusat penyelidikan di SIMCA akan menyediakan kemudahan pendidikan bertaraf dunia dengan struktur dan sumber diperlukan untuk inisiatif sains ekosistem marin, khususnya mengenai pulau tropika kecil dan ekologi terumbu karang.

Goossens, yang mewakili Naib Canselor Universiti Cardiff berkata universiti akan menawarkan kursus-kursus lapangan kepada pelajarnya dan kepada pelajar tempatan dan antarabangsa yang menjalani latihan di SIMRC.

Universiti juga akan menguruskan pengambilan pelajar dan program kerja lapangan di pusat itu, dan akan membantu mengumpulkan dana bagi pemerolehan peralatan tambahan makmal untuk aktiviti di SIMRC.

“Kini, Universiti Cardiff berada dalam kedudukan untuk menawarkan kursus-kursus lapangan dan peluang penyelidikan dalam dua ekosistem paling berbeza di dunia – terumbu karang tropika di SIMRC dan hutan hujan tropika di DGFC dalam kawasan Kinabatangan, juga di pantai timur Sabah.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan negeri Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Reef Guardian bagi sokongan dan semangat setiakawan mereka dan kami menyambut baik kerjasama ini,” kata Goossens. — Bernama