Gimnas Sarawak capai sasaran

0

CEMERLANG: Tan (kanan) bersama jurulatih dan para gimnas negeri sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching Ahad lalu.

KUCHING: Gimnas cilik Sarawak mempamerkan aksi bertenaga untuk merangkul tempat kedua pada Kejohanan Gimnastik Artistik Majlis Sukan Sekolah- Sekolah Malaysia (MSSM) yang berlangsung di Dewan Gimnastik Selangor, Shah Alam pada minggu lalu.

Skuad yang diwakili 15 atlet itu merangkul 13 pingat emas, lapan perak dan 10 gangsa sekali gus mengumpul 413 mata untuk berada di tempat kedua secara keseluruhan pada kejohanan tahunan peringkat sekolah itu.

Pengerusi Teknikal Gimnastik Artistik Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Sarawak (MSSS), Tan Gek Hiong berkata kejayaan skuad negeri itu adalah di luar jangkaan dan amat membanggakan.

“Kita memenangi lebih banyak pingat kali ini berbanding pada tahun lepas dengan hanya 13 emas, enam perak dan dua gangsa.

Ini satu peningkatan yang cukup baik kerana kita tidak menghantar skuad penuh pada tahun ini,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, Sarawak berpeluang memenangi lebih banyak pingat emas sekiranya Esmelda Arecia Menti tidak jatuh semasa acara batang titian berpasukan.

Selain itu, beliau turut yakin Sarawak mampu merangkul juara keseluruhan jika skuad menyenaraikan lebih ramai gimnas dalam acara lelaki dan wanita bawah 18, 15 dan 12 tahun.

“Kita berjaya mencapai sasaran pingat dan saya sangat gembira dengan prestasi ditunjukkan oleh atlet baharu seperti Nur Sofea Idayah, 9, dari SK Jalan Ong Tiang Gimnas Sarawak capai sasaran Rangkul tempat kedua pada Kejohanan Gimnastik Artistik MSSM di S’gor Swee,” katanya.

Tan juga percaya gimnas muda negeri mampu mengorak langkah ke peringkat lebih tinggi sekiranya mereka didedahkan dengan lebih banyak latihan dan pertandingan.

“Kita mempunyai ramai gimnas muda yang berpotensi dan jurulatih, Bogomil Ivanov Momchilov dan Gergana Kostadinova Momchilova telah melaksanakan tugas dengan baik dalam melatih mereka,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), ibu bapa dan pihak sekolah yang banyak memerikan sokongan terhadap skuad gimnastik negeri.

“Saya juga berharap gimnas yang telah terpilih untuk mewakili negeri pada SUKMA XVI akan berjaya membawa pulang pingat untuk negeri,” katanya bersemangat.

Esmelda yang juga pemenang pingat emas pada SUKMA XV 2012, paling mencuri tumpuan dengan memenangi empat pingat emas.

Manakala seorang lagi atlet Linda Lim dari SK Chung Hua No. 1 meraih empat emas dan satu perak.

Turut menghadiahkan pingat emas ialah Sufi As-Sofiyah dari SK St Teresa, Badrul Amin dari SK Green Road.

Tiga lagi emas dihadiahkan menerusi acara berpasukan wanita bawah 15 tahun, berpasukan wanita bawah 12 tahun dan berpasukan lelaki bawah 12 tahun.

Atlet-atlet lain yang turut serta ialah Nur Sofea Idayah, Audrey Jude Rendih, Cassandra Lavigne Shelden, Nur Amira Idayah, Syahzani Izatti Wan Yusof, Brigitta Hanny, Dewi Nisrina, Ally Hamuda Abdullah, Jason Wong Chin Hsien, Adam Firdaus dan Fareez Aiman.

Mereka dilatih oleh Soo Yieng Nee, Roslan Narawi dan Mayumi Bongkoi.