Petani luar bandar main peranan penting

0

RASMI: Entri memukul gong untuk merasmikan AGM Pertubuhan Peladang Kawasan Sibu, semalam.

SIBU: Petani luar bandar perlu membuang pemikiran negatif bahawa mereka tidak mempunyai peranan penting untuk membantu negara mencapai status negara berpendapatan tinggi pada 2020.

Menteri Muda Pertanian (Pertubuhan Peladang), Datuk Sylvester Entri Muran berkata golongan tersebut tidak harus beranggapan demikian hanya kerana mereka menyumbang sedikit kepada pendapatan negara.

“Semua petani mesti bergerak bersama-sama serta memainkan peranan kerana anda merupakan salah satu bahagian yang terpenting untuk mencapai Wawasan 2020.

“Terdapat banyak peluang yang disediakan oleh kerajaan untuk membantu anda,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sibu, di sini semalam.

Hadir sama Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pertanian Negeri Sarawak (Pertubuhan Peladang), Sanawi Ismail dan Pengerusi PPK Sibu, Patrick Nyangau Empungan.

Terdahulu, Entri yang juga Pengerusi PPK Sarawak memberitahu bahawa kementeriannya merancang menubuhkan sebuah kedai di setiap unit PPK untuk menyimpan baja subsidi.

Menurutnya, ia akan memudahkan petani terutamanya mereka yang tinggal jauh dari bandar untuk mengambil bekalan baja mereka.

“Kita tahu baja sangat mahal bagi mereka untuk mendapatkan bekalan itu dari bandar,” jelas beliau.

Beliau kemudiannya menggesa ahli PPK untuk merekrut ahli-ahli baharu selaras dengan seruan yang dibuat oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu melihat lebih ramai petani menyertai organisasi.

“Apabila kita mempunyai lebih ramai ahli, lebih banyak peruntukan akan datang kepada kita,” tambahnya.

Beliau kemudian memberitahu bahawa PPK Sibu mempunyai 12,000 ahli dari 61 unit setakat ini dan menggesa mereka menjadi lebih aktif dengan menganjurkan pelbagai aktiviti bagi menyumbang kepada organisasi.

Pada majlis yang sama, beliau menyampaikan insentif pendidikan kepada anak-anak ahli PPK Sibu yang memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam pada tahun lalu.