Wednesday, May 12

Shell Malaysia anjur rumah terbuka Pesta Menuai pada 14 Jun

0

MIRI: Shell Malaysia akan menganjurkan Pesta Menuai 2013 dengan mengadakan majlis rumah terbuka perayaan Hari Gawai Dayak dan Pesta Kaamatan secara serentak.

Majlis rumah terbuka tersebut akan diadakan di Rumah 100, Jalan Pantai di Piasau Camp dekat sini pada 14 Jun, mulai jam 5 petang.

Pengerusi Shell Malaysia merangkap Pengarah Urusan Sarawak Shell Berhad/Sabah Shell Petroleum Company, Iain Lo sendiri akan menjadi tetamu kehormat atau ‘Tuai Pengabang’ pada majlis tersebut kelak yang dihoskan oleh pihak pengurusan kedua-dua Sarawak dan Sabah Shell.

Pelbagai atur cara telah disusun bermula dengan acara ‘nuchi kaki’ atau ‘membasuh kaki’ iaitu acara menyambut ketibaan tetamu dengan air tuak dan ngajat.

Majlis kemudiannya diserikan dengan upacara ‘miring’ diikuti dengan ucapan oleh ‘Tuai Pengabang’ Iain Lo yang kemudiannya merasmikan majlis rumah terbuka tersebut.

Turut diadakan adalah persembahan kebudayaan oleh suku kaum Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan Kadazan-Dusun.

Acara rumah terbuka akan diakhiri dengan majlis menumbangkan ‘pokok ranyai’ atau ‘ngeranyai’ diikuti dengan upacara mengulung tikar atau lebih dikenali sebagai ‘ngiling tikai’ sebagai tanda penutupan sambutan Hari Gawai Dayak.

Di samping persembahan kebudayaan, majlis rumah terbuka Shell Malaysia kali ini turut diserikan dengan persembahan band secara live oleh penyanyi jemputan Shell Malaysia.