Lelaki dera anak tiri dipenjara tiga tahun

0

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini kelmarin atas kesalahan mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus memjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Zulfatika Yusof, 23, selepas mengaku bersalah mencederakan anak tirinya.

Tertuduh telah mendatangkan kecederaan terhadap mangsa pada 3 Mac tahun ini jam 2 pagi sebuah rumah, Blok C Cempaka, kuaters Bukit Padang, di sini.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Sekyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(2) akta sama.

Hukuman yang diperuntukkan, boleh didenda tidak lebih RM20,000 dan boleh dipenjara tidak lebih sepuluh tahun, atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada 3 Mac lalu pengadu telah membuat laporan polis menyatakan telah dipukul oleh suaminya iaitu tertuduh, dan turut diugut.

Hasil siasatan, pada hari kejadian di tempat yang sama, setelah pengadu, mangsa dan tertuduh tiba di rumah mereka daripada menghadiri jamuan, pengadu telah meninggalkan mangsa di dalam bilik lalu ke dapur untuk memasak.

Ketika memasak, pengadu terdengar mangsa menangis lalu pergi ke dalam bilik untuk melihat. Pengadu melihat tertuduh memulas tangan mangsa sehingga biru lalu dengan pantas mengambil mangsa daripada pengadu.

Tertuduh telah memukul pengadu dan mengugut akan membunuhnya serta anaknya.

Selain itu, tertuduh juga mencekik dan cuba menghempas serta melambungkan mangsa, tetapi berjaya diselamatkan oleh pengadu.

Mangsa telah dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth, pemeriksaan fizikal mengesahkan mangsa mengalami kecederaan dan hasil siasatan pihak polis, tertuduh telah lama mendera mangsa.

Dalam pada itu, mahkamah juga mengarahkan tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan deposit sebanyak RM3,000 atau penjara tiga bulan.

Terdahulu, tertuduh memohon agar hukumannya dijalankan serentak atas kesalahan mengugut untuk membunuh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan mencederakan Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dan memohon agar tempoh hukuman dikira dari tarikh tangkap.

Namun, Timbalan Pendakwaraya Uma Devi Balasubramaniam menyatakan tertuduh harus dijatuhkan hukuman penjara untuk suatu tempoh masa yang lama.

Selain itu, kejadian terbabit melibatkan keganasan terhadap kanak-kanak yang mana tidak seharusnya berlaku dalam kalangan masyarakat.