Friday, October 18

Wanita terbunuh setelah kepala digilis lori kontena

0

ADIK mangsa gagal mengawal perasaan hiba setelah kematian kakaknya dalam kejadian itu kelmarin.

PUTATAN: Ngeri. Seorang wanita tempatan terbunuh dalam keadaan yang amat mengerikan setelah tempurung kepalanya pecah digilis sebuah lori kontena dalam satu kejadian berhampiran Pekan Sabindo, Jalan Lok Kawi pagi kelmarin.

Insiden yang berlaku sekitar jam 11 pagi itu difahamkan berlaku ketika mangsa yang dikenali sebagai Samsidar Samaruddin, 21, membonceng motosikal yang ditunggang oleh adik lelakinya, berasal dari Kampung Andus, Papar, menuju ke pusat bandar.

Bagaimanapun setibanya di lokasi kejadian, tidak semena-mena motosikal yang ditunggang telah bergesel dengan sebuah lori kontena sehingga menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan raya.

Lebih mengerikan, ketika tercampak mangsa telah digilis tayar lori kontena berkenaan dan mengakibatkan tempurung kepala mangsa pecah dengan otak bersepai di atas jalan raya.

Ketua Polis Penampang, Deputi Superitenden Ratan Kumar Singh berkata mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian sementara adiknya tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden itu.

“Sementara itu, pemandu lori terbabit yang berusia 30an telah ditahan mengikut siasatan lanjut,” katanya sambil menambah kes terbabit akan disiasat Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi tempat kejadian apabila adik mangsa enggan berganjak dan hanya mampu menangis di samping mayat kakaknya.