Lelaki parah kereta terbabas di Kolombong

0

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan cedera parah setelah kenderaan yang dipandunya terlibat nahas dalam satu kejadian di Jalan Iramanis, Kolombong berhampiran bangunan Puspakom, di sini kelmarin.

Mangsa dipercayai berusia 30an mengalami kecederaan di bahagian badan dan kaki dalam kemalangan yang berlaku sekitar jam 3.30 pagi itu.

Difahamkan ketika kejadian mangsa sedang dalam perjalanan ke Inanam dari arah Luyang sebelum dikatakan gagal mengawal kereta jenis Perodua Myvinya dan terbabas lalu merempuh pokok di pembahagi jalan di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa telah digegaskan ke hospital berdekatan oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi insiden bagi menerima rawatan lanjut.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi kelmarin mengesahkan kejadian terbabit.

Menurut beliau, kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu dalam kes berasingan di Taman Awam Tanjung Lipat, Likas menyaksikan sebuah motosikal dipercayai jenis Honda Ex5 terbakar dalam satu kejadian petang Rabu lepas.

Dalam insiden sekitar jam 6 petang itu, difahamkan motosikal berkenaan yang diletakkan berhampiran taman terbabit musnah teruk akibat terbakar.

Sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi memadamkan api dan kejadian itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.