81 rumah amal GISB cari dana sebar ajaran Al-Arqam

0

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengenal pasti sekurang-kurangnya 81 rumah amal di seluruh negara yang diwujudkan Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) untuk meneruskan penyebaran ajaran sesat kumpulan Al-Arqam yang diharamkan kerajaan sejak 1994.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha berkata rumah amal berkenaan, yang setiap satunya mempunyai purata penghuni antara 20 dan 80 orang,dikendalikan GISB menggunakan sumbangan luar sama ada dalam bentuk sedekah atau zakat.

“Hakikatnya, penghuni rumah amal itu merupakan anak-anak pekerja GISB dan mereka tidak mendapat pendidikan formal dan terpisah daripada arus perdana.

“Rumah amal itu bernaung di bawah Yayasan Kebajikan Perubatan dan Perkhidmatan Malaysia (YKPPM) yang bertanggungjawab mengeluarkan surat bagi tujuan memohon sumbangan.

“(Lazimnya) menjelang ketibaan Ramadan, GISB akan mengerakkan pengeluaran surat ini kepada individu, institusi atau syarikat,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Othman berkata GISB menubuhkan rumah-rumah amal itu sebenarnya untuk meneruskan perjuangan Al-Arqam, namun mengaburi masyarakat dengan mendakwa ia pusat kebajikan yang menempatkan golongan asnaf.

“Pengurus-pengurus zon GISB akan meminta pengurus rumah amal supaya berusaha untuk mencari wang sebanyak mungkin terutama pada Ramadan untuk membolehkan kegiatan mereka dijalankan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak supaya tidak melayan surat memohon sumbangan itu.

Beliau berkata sebanyak 26 rumah amal GISB itu terdapat di Selangor, enam di Lembah Klang, Kedah (enam), Pulau Pinang (tiga), Perak (lima), Melaka (dua),Negeri Sembilan (lima), Johor (sembilan), Pahang (lima), Terengganu (dua),Kelantan (tiga), Perlis (satu), Sarawak (dua) dan Sabah (enam).

Antaranya ialah Rumah Anak Yatim Amal Belaian Kasih (Rabeka) di Ampang, Rumah Amal Kasih Harmoni di Rawang, Rumah Amal Limpahan Kasih (Ralk) di Puchong,Rumah Anak Kesayangku di Bukit Beruntung dan Baitus Sakinah Wal Mahabah di Sepang.

Othman berkata pihak yang mahu mendapatkan kepastian berhubung status atau nama-nama rumah amal berkenaan boleh menghubungi JAKIM atau pihak Jabatan AgamaIslam Negeri.

Beliau juga berkata Surat Pekeliling Am Bil 4 pada 1994 yang melarang penglibatan pegawai awam dan agensi kerajaan dalam aktiviti  berkaitan Al-Arqam masih berkuat kuasa sehingga kini.

Usaha menggerakkan kegiatan Al-Arqam dikatakan didalangi Hatijah Aam, balu pemimpin kumpulan itu Allahyarham Ashaari Muhammad. — Bernama