Dua lelaki termasuk suspek curi kereta diberkas polis

0

SIBU: Dua lelaki ditahan polis termas­uk seorang suspek curi kereta masuk ke dalam perangkap sendiri apabila dia menawarkan diri untuk membantu mencari kereta milik pengadu hilang pada awal Jun ini.

Kejadian itu berlaku apabila jiran sebelah rumah mangsa di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini menghubungi seorang saudara pemilik rumah berkenaan pada jam 2 petang, 3 Jun lalu.

Saudara pemilik rumah tersebut kemudiannya bertindak pergi ke rumah yang disyaki telah dipecah masuk pencuri itu dan mendapati ru­mah berkenaan berada dalam keadaan berselerak.

Pemilik rumah yang juga seorang guru berketurunan Iban terus pergi ke rumahnya selepas dimaklumkan oleh saudaranya.

Apabila memeriksa keadaan di rumah mereka mendapati dua buah kereta jenis Proton Persona dan Perodua Viva didapati hilang.

Turut dilaporkan hilang termasuk dua pasang satu unit pemain HiFi, jam dan kasut berjenama serta lapan unit telefon bimbit.

Bagaimanapun, dua hari kemudian seorang lelaki hanya dikenali sebagai Ah Ho menghubungi dan menawar­kan mencari kereta pemilik rumah tersebut.

Mereka kemudiannya berjumpa di sebuah tempat di Jalan Kampung Nyabor, di sini di mana sebuah kereta Proton Persona diserahkan kepada tuan punya kereta terbabit.

Tidak dapat dipastikan sama ada ganjaran diberi mahupun diminta oleh lelaki tersebut daripada pemilik kereta berkenaan, namun cukai jalan dan nombor plat pendaftaran kereta tersebut telah ditukar.

Tidak berpuas hati dengan keadaan tersebut, pengadu memaklumkan perkara tersebut kepada polis kemu­dian.

Tindakan pemilik kereta tersebut telah membawa kepada penangkapan Ah Ho di sebuah rumah di Jalan Tekam dekat sini.

Susulan penangkapan Ah Ho, polis juga berjaya memberkas seorang lagi lelaki yang disyaki terlibat sama dalam kes curi kereta dan pecah rumah terse­but di mana beberapa barangan curi turut dirampas.

Difahamkan suspek-suspek mem­beritahu polis bahawa kereta Perodua Viva juga milik pengadu dikatakan telah dijual kepada pembeli dari Indonesia.

Kes tersebut kini masih dalam sia­satan polis.