Annuar persoal FAM mengenai hasil hak penyiaran Liga Malaysia RM30 juta

0

KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa (gambar) mempersoal wang berjumlah RM30 juta setahun yang diterima oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi penjualan hak penyiaran perlawanan Liga Malaysia.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan dan bekas Timbalan Presiden FAM itu berkata jumlah hasil itu sepatutnya digunakan bagi membantu persatuan negeri yang menghadapi masalah kewangan.

“Ap-abila saya merundingkan tajaan bagi Liga Malaysia menerusi MSL (Malaysian Super League), kita menjual segala hak milik negeri yang merupakan pihak yang beraksi menjayakan liga…  matlamat kita itu ialah untuk menjana pendapatan lebih tinggi kepada negeri-negeri.

“Sekarang kita harus tahu ke mana tajaan RM30 juta/setahun itu dibelanja dan dibelanjakan di dapur mana? Adalah salah kalau dianggap tajaan itu milik FAM…  ia milik liga dan mesti sebahagian besar untuk memajukan liga.

“Kalau dibiar peserta liga mati, akhirnya Liga Malaysia juga akan mati…  maka dapur persatuan negeri adalah juga dapur FAM,” katanya dalam laman sosial Facebook beliau kelmarin.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad dalam laporan akhbar, berkata bukan tugas badan induk itu ‘menjaga rumah tangga atau dapur orang lain’ dan FAM sudah melakukan apa sepatutnya termasuk pemberian geran tahunan kepada setiap pasukan yang bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana.

Sebelum ini, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mendakwa FAM gagal membantu persatuan itu yang menghadapi masalah kewangan untuk membayar gaji pengurusan dan pemain musim ini.

Annuar berkata, Azzuddin tidak memahami status sebenar bola sepak negara dan beliau sepatutnya sedar bahawa persatuan bola sepak negeri adalah punca pendapatan utama FAM.

“Sembilan puluh peratus punca pendapatan FAM datangnya dari persatuan bola sepak negeri, adalah tidak adil jika FAM tidak mengambil tahu masalah mereka,” katanya. — Bernama