Lahirkan graduan ilmu agama

0

TERTARIK: Taib dan Ragad menikmati aiskrim di tapak pameran sempena sambutan Ulang Tahun Ke-45 SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud di Sadong Jaya, semalam. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

SADONG JAYA: Setiap masjid dan surau di negeri ini perlu bertindak sebagai pusat pengajaran ilmu keagamaan bagi menyediakan asas untuk melahirkan graduan dalam bidang tersebut.

Sehubungan itu, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mahu Majlis Islam Sarawak (MIS) merangka sistem dan strategi lebih efisien agar rumah ibadah itu dijadikan pusat pengajaran ilmu agama.

Menurutnya, penggunaan teknologi maklumat (IT) dilihat sebagai pendekatan terbaik dan menarik untuk menggalakkan generasi muda mendalami ilmu agama sesuai dengan perkembangan semasa.

“MIS patut merancang sistem dan strategi bagi menggalakkan masjid dan surau dijadikan pusat pengajaran ilmu agama.

“Usaha ini penting untuk menyediakan asas dalam melahirkan graduan agama yang mampu bertindak sebagai imam dan guru agama selepas menamatkan pelajaran,” ujarnya berucap melancarkan Perayaan Ulang Tahun Ke-45 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pesantren Abdul Taib Mahmud di sini, semalam.

Taib berkata, pada masa ini Sarawak menghadapi kekurangan imam dan guru agama bertauliah.

“Kerajaan negeri memandang serius perkara ini dan berhasrat untuk menambah seberapa ramai imam serta guru agama terutama di kalangan generasi muda,” katanya.

Dalam pada itu, Taib menjelaskan SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud merupakan sekolah yang amat unik kerana para pelajarnya mendalami ilmu dalam bidang akademik dan agama.

“Sekarang kita boleh lihat, sekolah ini menjadi pilihan masyarakat termasuk dari luar Sadong Jaya,” jelasnya.

Selain itu, beliau melahirkan rasa bangga dengan pencapaian sekolah tersebut yang mencatat keputusan cemerlang dan berada dalam senarai 15 sekolah terbaik luar bandar bagi peperiksaan awam.

Malah, menurut Taib, kebanyakan lepasan SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar dan universiti-universiti lain di Timur Tengah.

“Sekarang, ada kalangan mereka menyandang jawatan tinggi dalam sektor awam dan swasta,” kata Taib.

Pada majlis itu, beliau mengumumkan peruntukan RM250,000 daripada kerajaan negeri kepada SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud.

Hadir sama isteri Ketua Menteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman, Menteri Muda Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Datuk Naroden Majais serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo.