Luang masa persaraan dengan positif

0

KUCHING: Golongan pesara perlu menggunakan masa persaraan dengan cara yang positif bersesuaian dengan keupayaan diri untuk kekal sihat dan produktif kepada masyarakat dan keluarga.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, jika tidak diuruskan secara positif, pesara mungkin akan terjebak dengan aktiviti tidak berfaedah yang boleh membahayakan diri mereka sendiri.

Justeru, beliau menasihati golongan pesara supaya menguruskan dengan baik usia persaraan dengan hobi yang baharu bersesuaian dengan keupayaan diri atau terlibat dalam aktiviti berpersatuan.

“Saya memuji usaha golongan pesara yang mengambil sikap positif selepas tamat perkhidmatan dengan terlibat dalam aktiviti-aktiviti berpersatuan seperti Persatuan Pesara Kerajaan Sarawak.

“Selagi ada keupayaan, cuba lakukan aktiviti-aktiviti yang positif dan jangan biarkan faktor usia menjadi bebanan kepada diri anda ketika usia tua anda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-41 Persatuan Pesara Kerajaan Sarawak di Dewan Suarah Kuching di sini, semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Presiden persatuan Julaihi Ismail berkata, persatuan itu memerlukan bantuan untuk meringankan bebanan kewangan dalam menjalankan pelbagai aktiviti untuk kepentingan ahli-ahlinya.

Berikutan itu, beliau bagi pihak ahli memohon bantuan daripada Timbalan Ketua Menteri sendiri, selain memohon geran tahunan bagi persatuan, sebidang tanah dan rumah untuk pejabat kekal di Kuching serta penyelarasan bantuan daripada kerajaan negeri dan pusat untuk ahli-ahli.

Sebagai keprihatinan dan tanda sokongan, Jabu yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Menteri Pembangunan Luar Bandar meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada persatuan tersebut untuk tahun ini dan ditambah kepada RM30,000 bagi tahun depan.

Mengulas mengenai permohonan yang dikemukakan oleh Julaihi, Jabu berkata semua ini adalah usaha baik persatuan untuk kepentingan ahli serta menarik keahlian yang lebih ramai.

Katanya, segala permohonan seperti geran tahunan, sebidang tanah dan rumah bagi tujuan pejabat dan penyelarasan kemudahan daripada kerajaan persekutuan akan dikemukakan kepada pihak yang berkenaan bagi tindakan selanjutnya.

Persatuan itu ditubuh dan didaftarkan pada tahun 1971 dan setakat ini mempunyai keahlian seramai lebih 7,000 orang.