Peratusan kanak-kanak hadiri tadika meningkat: Fatimah

0

KUCHING: Peratusan kanak-kanak yang melalui pendidikan awal kanak-kanak sebelum melangkah ke tahun satu meningkat kepada 97.66 peratus tahun ini berbanding 97.25 peratus pada tahun 2012.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, mengikut statistik tahun 2013, terdapat seramai 40,504 orang murid mendaftar untuk kemasukan tahun satu.

Daripada jumlah tersebut, seramai 39,557 orang murid atau 97.66 peratus pernah melalui pendidikan awal kanak-kanak sebelum melangkah ke tahun satu.

“Peningkatkan peratusan dan jumlah kanak-kanak yang melalui pendidikan awal kanak-kanak menunjukkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan awal kanak-kanak.

“Ini kerana kanak-kanak di peringkat usia prasekolah merupakan titik awal bagi mencorakkan arah tuju dan pembentukan kanak-kanak.

“Justeru, penting untuk ibu bapa memberi sokongan dan dorongan kepada anak-anak mereka untuk masa depan yang terbaik kepada anak-anak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tabikarama Tabika Perpaduan Bahagian Kuching Tahun 2013 di Pusat Beli-belah City One di sini semalam.

Dalam pada itu berdasarkan kepada statistik tadika tahun 2013, setakat Jun 2013 sebanyak 3,118 buah tadika ditawarkan dengan bilangan kelas sebanyak 4,750 melibatkan murid seramai 78,544 orang serta bilangan guru seramai 5,046 orang.

Bercakap mengenai program tersebut ia merupakan anjuran Jabatan Perpaduan, Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Kuching bertujuan memupuk nilai-nilai murni dan perpaduan melalui kepelbagaian kaum.

Selain itu ia juga bertujuan melahirkan kanak-kanak yang berkeyakinan dan bekerjasama antara satu sama lain serta menggalakkan interaksi di kalangan kanak-kanak Tadika Perpaduan dan ibu bapa serta masyarakat.

Sebanyak 44 buah tadika mengambil bahagian dalam Tabikarama yang bermula seawal jam 9.00 pagi dengan empat kategori persembahan dipertandingkan, Tarian Tradisional, Rampaian Satu Malaysia, Tarian Moden dan Sketsa.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sarawak, Delin Liet Blaun mewakili Pengarah Dirwana Azool.