Guru madrasah didakwa pecah amanah tanah seluas 0.645 hektar

0

SHAH ALAM: Seorang guru madrasah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melakukan pecah amanah ke atas sebidang tanah seluas 0.645 hektar di Mukim Klang, tiga tahun lepas.

Hamdan Muhtar, 56, dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, yang ditahan kelmarin, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Majistret Nurul Syuhada Zainal.

Mengikut pertuduhan, Hamdan diamanahkan dengan penguasaan ke atas tanah di alamat HSD 115826 PT 117419 Mukim Klang dan dia didakwa melakukan kesalahan pecah amanah di Pejabat Tanah dan Galian di sini pada kira-kira jam 10 pagi, 18 Sept 2000 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Julai ini untuk sebutan semula kes serta memerintahkan Hamdan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Jaizah Jaafar Sidek menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Amer Hamzah Arshad memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM3,000 atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri dan tiga anak yang masih belajar.

“Anak guam saya juga mempunyai sebuah madrasah di Seremban, Negeri Sembilan, justeru, dia tidak akan melarikan diri apatah lagi anak guam saya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya. — Bernama