Polis Pahang komited dalam membanteras premis perjudian Internet

0

KUANTAN: Polis Pahang semalam menegaskan mereka komited dalam membanteras kegiatan perjudian menerusi Internet dan sentiasa melakukan serbuan terhadap premis terbabit.

Namun kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC Mohd Zakaria Ahmad, ada pemilik yang berdegil dan terus beroperasi sekalipun banyak kali diserbu pihak berkuasa.

“Kami tidak nafikan terdapat premis yang diserbu itu kembali beroperasi, terdapat premis yang diserbu sehingga enam kali dan merampas semua peralatan mereka, namun mereka tetap kembali beroperasi semula.

“Pihak polis tidak akan berkompromi dan akan terus melakukan serbuan bagi membanteras kegiatan itu,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Beliau turut meluahkan rasa kesal dengan dakwaan sesetengah pihak bahawa polis negeri itu membiarkan kegiatan judi berleluasa selain ada yang menuduh polis bersekongkol dengan pengusaha perjudian tanpa lesen terbabit.

Mengulas dakwaan itu, Mohd Zakaria berkata bagi tempoh Januari hingga 15 Jun lepas, polis menyerbu 342 premis judi tidak berlesen dan menangkap 1,356 orang termasuk pelanggan, pekerja dan pemilik premis.

“Rampasan pula melibatkan 3,715 unit komputer dan wang tunai berjumlah RM87,406,” katanya.

Menurutnya dalam operasi terkini kelmarin, sebanyak lima premis di Jalan Air Putih dan Jalan Beserah di sini diserbu.

“Dalam serbuan itu polis berjaya memberkas 10 lelaki berusia lingkungan 20-an dan turut merampas 158 unit komputer bernilai kira-kira RM158,000 termasuk wang tunai RM1,512,” katanya.

Katanya sepanjang tahun lepas, polis Pahang menyerbu 932 premis judi tidak berlesen dan berjaya menahan 4,105 orang selain merampas 10,639 unit komputer dan wang tunai RM225,309. — Bernama