Darul Husna mahu jawatan timbalan pengerusi MPS diberi kepada Bumiputera

0

SIBU: Kelab Remaja dan Belia Darul Husna Sibu menyuarakan pandangan agar jawatan timbalan pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) diberikan kepada kaum Bumiputera di sini.

Penasihatnya Jamil Akim menyokong penuh kenyataan Presiden Angkatan Wawasan Anak Sarawak (AWAS) serta Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Wilayah Tengah, yang disiarkan akhbar ini sebelum ini.

“Hakikatnya, jawatan pengerusi perbandaran pun layak diberi kepada pemimpin Bumiputera tempatan.

“Transformasi perlu dibuat secepat mungkin demi kestabilan dan perpaduan masyarakat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Menyentuh mengenai ahli majlis, Jamil memberitahu bahawa khidmat ahli-ahli majlis sudah beberapa penggal disambung dengan pelbagai alasan diberikan oleh pihak yang berkaitan.

“Seolah-olah tiada orang lain yang berkelayakan. Kita sudah bosan dan muak dengan senario sedemikian,” tambahnya.

Kenyataan Jamil itu turut disokong oleh Pengerusi AWAS Unit Bahagia Jaya Teku Osman Yusof yang meminta MPS menyediakan meja lebih sempurna kepada penjaja Bumiputera yang menjalankan perniagaan di Pasar Sentral Sibu.

Katanya, peruntukan RM1 juta diberi oleh Perdana Menteri sebelum ini sepatutnya diagihkan seadilnya di kalangan peniaga di situ.

“Namun apa yang kita lihat sekarang, hanya kawasan pasar basah untuk menjual ikan telah dibaik pulih, tetapi kawasan menjual hasil hutan yang majoritinya peniaga Bumiputera masih menggunakan kotak buatan sendiri,” ujar Osman.

Menurut beliau, keselesaan dan keselamatan peniaga Bumiputera keseluruhannya di Pasar Sentral perlu diambil perhatian serius oleh MPS.

“Kita malu bila ditanya oleh pelancong luar atau tempatan dengan keadaan meja yang tidak teratur dan sistematik ini,” tambah Osman.

Pada 13 Jun lalu, akhbar ini melaporkan Presiden AWAS Radin Kadri Radin Budiman berpendapat sudah sampai masanya jawatan Timbalan Pengerusi MPS dipegang oleh tokoh Bumiputera di Sibu.

Kedua-dua jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi, kini dipegang oleh pemimpin Cina sedangkan terdapat jumlah penduduk Melayu/Melanau yang agak besar tinggal di kawasan Sibu.

“Oleh kerana itu, kepentingan mereka juga harus diambil kira dengan meletakkan seorang pemimpin Melayu/Melanau duduk di kerusi kepimpinan tertinggi MPS supaya beliau dapat menjalankan tanggungjawab dan peranan dengan lebih berkesan.

“Setakat ini, masyarakat Melayu/Melanau hanya mempunyai pemimpin yang duduk sebagai ahli majlis atau mengetuai jawatankuasa kecil majlis yang kurang berkesan dan dibuat secara sukarela dengan menurut kepentingan MPS sahaja,” kata Radin Kadri dipetik sebagai berkata.

Jawatan pengerusi MPS kini disandang oleh Datuk Tiong Thai King sementara Timbalan Pengerusi Daniel Ngieng Kiong Ann.