Kerajaan BN tidak bohong mengenai NCR

0

HAK KAMI: Adenan (tiga kanan) menyerahkan warta kepada salah seorang penerima sambil disaksikan Ahmad Lai (dua kanan) di Miri semalam.

MIRI: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah membohongi rakyat mengenai tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), kata Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang.

Katanya, beliau kesal kerana beberapa pihak khususnya di kawasan pinggir bandar termakan hasutan pihak tidak bertanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu mengenai status tanah berkenaan.

“Sukat tanah NCR untuk kesenangan rakyat dikata hendak ambil tanah rakyat, nah sekarang siapa yang berbohong,” katanya pada Majlis Penyampaian Warta Pemberitahuan Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri di Wisma Pelita, di sini petang semalam.

Turut hadir Menteri Tugas-tugas Khas Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem dan Penguasa Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Miri Unus Tambi.

Menurutnya, penyerahan warta itu adalah bukti bahawa tanah NCR yang disukat oleh pihak JTS sebetulnya milik rakyat sendiri.

“Mari kita sama tolong sebarkan kepada mereka yang tertipu sebelum ini (ketika PRU13) mengenai status tanah NCR, kita perbetulkan.

“Jika ada perkara yang tidak jelas atau tidak berpuas hati, penduduk boleh duduk berbincang dan berjumpa pihak JTS di pejabat,” katanya.

Untuk tujuan pemberitahuan dan penyebaran maklumat sebenar itu, beliau menyeru pihak tuai rumah, penghulu, kaunselor dan semua ketua masyarakat berbuat demikian.

Pada masa sama, Ahmad Lai menasihati rakyat agar tidak mendengar apa-apa yang dihebahkan melalui Radio Free Sarawak (RFS).

“Tidak perlu dengar, RFS tidak beri informasi apa pun kepada rakyat, itu radio menyebar penipuan,” tambahnya.