Thursday, September 19

MIC: Pemilihan semua jawatan tertinggi dalam tahun ini

0

SIDANG MEDIA: Palanivel ketika sidang media di Ibu Pejabat MIC di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pemilihan bagi semua jawatan tertinggi MIC akan diadakan dalam tahun ini bagi mematuhi nasihat Pendaftar Pertubuhan (ROS), kata Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel.

“Saya telah bertemu ROS sebanyak dua kali selepas PRU13 (pilihan raya umum ke-13) dan mereka menasihatkan supaya buat pemilihan tahun ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC di ibu pejabat parti di sini.

Beliau berkata mesyuarat CWC semalam menetapkan pemilihan bagi jawatan presiden parti pada 22 Sept manakala 1 Sept sebagai hari penamaan calon.

Pemilihan jawatan lain seperti timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota CWC pula akan diadakan pada bulan November atau Disember, katanya.

Palanivel berkata semua 3,900 cawangan MIC akan mula mengadakan mesyuarat tahunan dan pemilihan pada 12 Julai hingga 4 Ogos.

“Pemilihan bahagian akan bermula pada akhir bulan September hingga Oktober… kita akan habiskan pemilihan bahagian di tiap-tiap negeri dalam tempoh itu,” katanya.

Kali terakhir MIC mengadakan pemilihan parti ialah pada 2009 yang menyaksikan Datuk Seri S.Samy Vellu menang jawatan presiden tanpa bertanding.

Samy Vellu meletak jawatan pada 2010 dan Palanivel, yang pada ketika itu timbalan presiden parti, dilantik sebagai pengganti.

MIC sepatutnya mengadakan pemilihan parti pada tahun lepas namun menangguhkannya bagi memberi tumpuan kepada PRU13.

Dalam pada itu, Palanivel berkata jika dipilih sebagai presiden parti tahun ini, ia mungkin menjadi penggal terakhir untuk beliau menerajui MIC.

“Jika saya dipilih, ini akan menjadi penggal akhir saya…  selepas itu saya akan berundur kerana sekarang saya sudah berusia 64 tahun,” katanya. — Bernama