Nelayan terkejut buaya tersangkut di jaring

0

TERJERAT: Buaya yang tersangkut di jaring nelayan di Kampung Limpaku Pinang, Limbang.

LIMBANG: Lain yang dijerat lain pula yang mengena. Itulah pengalaman menakutkan seorang nelayan dari Kampung Limpaku Pinang, Morshidi Baha apabila seekor buaya tersangkut dalam jaring yang dipasangnya, Isnin lepas.

Dalam kejadian pada jam 8 pagi itu, Morshidi yang begitu teruja untuk melihat jaringnya dipenuhi ikan terkejut apabila seekor buaya jantan tersangkut dalam jaringnya.

Ketua Kampung Limpaku Pinang Simat Zaman ketika menghubungi Utusan Borneo semalam berkata, buaya sepanjang 13 kaki setengah dan selebar lebih dua kaki itu cuba untuk melepaskan diri dari jaring terbabit.

Namun, katanya, beberapa penduduk kampung segera membantu Morshidi mengangkat buaya berkenaan ke dalam perahu untuk dihantar kepada pihak Sarawak Forestry Miri.

“Tak sangka buaya yang kerap dilihat penduduk Kampung Limpaku Pinang di kuala Sungai Limbang, akhirnya terjerat dalam jaring salah seorang penduduk kampung,” katanya.

Simat turut melahirkan kebimbangan dengan kehadiran sang bedal di kampungnya sejak akhir-akhir ini.

Kampung Limpaku Pinang merupakan satu-satunya kampung yang terletak di kuala Sungai Limbang berhampiran Negara Brunei Darussalam.

Lebih 300 penduduk di kampung tersebut kebanyakannya terdiri daripada golongan nelayan dan hanya bergantung kepada laluan sungai yang memakan masa sekurang-kurangnya 30 minit untuk ke bandar Limbang.