Nyamuk, lalat penting dalam ekosistem, kehidupan manusia

0

KUCHING: Nyamuk dan lalat sering dilabelkan sebagai serangga perosak dan ejen penyebaran penyakit berjangkit tetapi sekumpulan saintis dari Jepun berjaya membuktikan kedua-dua serangga itu mempunyai peranan penting dalam ekosistem serta kehidupan manusia.

Saintis Etomologi (Bersara) di Institut Kebangsaan Penyakit Berjangkit (NIID) Tokyo Jepun Dr Hiromu Kurahashi berkata, kajiannya terhadap satu kumpulan spesies lalat ‘carrion flies’ (lalat memakan bangkai) mendapati lalat itu memainkan peranan penting dalam bidang perubatan dan forensik.

Menurutnya sifat lalat ini (carrion fly) yang agresif dengan larvanya sangat aktif memakan bangkai reput dan merupakan parasit aktif di dalam badan serangga atau binatang kecil lain menjadikannya ejen penting dalam proses kitar semula sumber-sumber protein dalam ekosistem.

‘Carrion flies’ hidup di seluruh pelosok dunia termasuk di Malaysia yang beriklim tropika, tambahnya.

“Misalnya larva lalat ini dengan cepat memakan bangkai reput di dalam hutan.

“Ia menjadi mangsa kepada burung atau binatang kecil atau serangga lain malah ada kalanya menjadi makanan manusia.

“Adakah anda menghormati lalat? Tanpa kita sedari larva lalat bekerja keras setiap hari untuk memastikan bumi kekal bersih,” katanya ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk ‘Carrion Flies Sebagai Mahkluk Penting Ekologi di Atas Bumi’ pada ceramah awam anjuran Jabatan Muzium Negeri Sarawak (JMNS) semalam.

Ceramah yang diadakan di Bilik Niah JMNS itu dihadiri orang ramai yang terdiri daripada saintis, pekerja lapangan, warga pendidik, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Beliau menambah, lalat juga berperanan sebagai ejen pendebungaan dan ia terbukti dalam sektor perladangan mangga di Jepun.

“Lalat sentiasa menjadi kawan kita malah pada masa akan datang apabila kita menjelajah ke ruang angkasa atau planet lain.

“Banyak telah saya pelajari daripada lalat dan menyedari tidak ada satupun kehidupan di bumi ini tidak berguna kepada biodiversiti dalam ekosistem kita,” katanya.

Sementara itu, Profesor Emeritus Universiti Kanazawa Jepun Dr Takao Okazawa berkata, kira-kira 3,300 spesies nyamuk direkodkan wujud di seluruh dunia tetapi hanya 10 peratus daripadanya dikaitkan dengan pemindahan penyakit.

“Apa yang selebihnya mereka lakukan? Adakah mereka hidup tanpa sebarang hubungan dengan kehidupan manusia? Banyak nyamuk menghisap darah mamalia, burung, reptilia dan amfibia malah ikan.

“Ada juga spesies nyamuk yang tidak menghisap darah dan mereka menghasilkan telur tanpa memakan darah.

“Dalam kalangan spesies itu larva beberapa spesies nyamuk sangat membantu dalam kehidupan kita,” katanya.

Menurutnya. nyamuk spesies ‘toxorhynchites’ mempunyai larva yang bersifat pemangsa yang akan memakan larva spesies lain.

Beliau memberitahu, saiz larvanya yang sebesar berudu mampu memakan lebih 200 larva spesies nyamuk lain sepanjang tempoh peringkat larva.

Habitat larva itu ialah dalam bekas semula jadi dan buatan.

“Kami ketika ini mengkaji nyamuk yang hidup di dalam batang buluh.

“Tunggul buluh merupakan habitat biasa nyamuk di Asia Tenggara dan Jepun. Pada 2011 dan 2012 kami berjaya mengumpul sampel dari buluh di Sematan, Sarawak.

“Nyamuk pemangsa termasuk dua spesies ‘toxorhynchites’ dan kimia ‘decolabilis’ muncul dalam lebih 80 peratus buluh yang menakung air.

“Dua spesies ‘toxorhynchites’ diasingkan oleh saiz buluh. Nyamuk pemangsa ini mengurangkan jumlah nyamuk lain di dalam buluh,” jelasnya.

Dr Ichiro Miyagi (Profesor Emeritus Universiti Ryukyu, Jepun) pula memberitahu nyamuk dewasa topomyia tidak menghisap darah dan ia bukan ejen penyebaran penyakit berjangkit.

“Genera (genus) topomyia adalah kumpulan yang kecil dengan 60 spesies dalam subgenera topomyia (38) dan suaymyia (22) terutama di rantau Timur.

Sejak 2004 kami telah mengumpul ribuan larva nyamuk di Malaysia terutama di Sarawak dan menemui 10 spesies yang dikategori sebagai baharu dalam subgenera topomyia,” jelas Ichiro.