PBPM Sarawak kesal dengan pihak salah guna logo PDRM

0

KUCHING: Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Sarawak kesal dengan tindakan segelintir pihak yang menyalahgunakan logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan meletakkannya pada kenderaan persendirian milik mereka.

Pemangku Pengerusi PBPM Sarawak Jack Joni berkata, beliau percaya individu terbabit meletakkan logo PDRM pada kenderaan adalah untuk kepentingan peribadi mereka tanpa menyedari ia satu perbuatan yang salah.

“Memang banyak sekarang ini kenderaan persendirian meletakkan logo polis pada plat kenderaan mereka, sebab mereka berbuat demikian saya kurang pasti, yang saya tahu ada berpendapat apabila mereka meletakkan logo itu pada kenderaan, mereka boleh memasuki mana-mana kawasan atau tempat tanpa sekatan.

“Malah ada juga berpendapat dengan cara itu mereka tidak akan dikenakan tindakan undang-undang atau saman kalau melanggar peraturan jalan raya misalnya,” ujarnya kepada pemberita selepas mempengerusikan sidang media di pejabat PBPM Sarawak di sini semalam.

Menurut Jack lagi, logo polis hanya boleh diletakkan pada kenderaan jabatan atau kenderaan pegawai dengan kelulusan jabatan.

Beliau menambah, perkara itu sudah lama berlaku tetapi sehingga kini masih tiada tindakan sewajarnya diambil untuk mengatasinya.

“Perkara ini sudah lama diperkatakan, berlaku tujuh atau lapan tahun lalu dan orang awam tidak dibenarkan menggunakan logo PDRM tetapi masih juga ada yang tidak mengendahkan pemberitahuan itu, mungkin menunggu sehingga tindakan tegas diambil terhadap individu terbabit.

“Justeru saranan saya kepada orang ramai yang mengetahui pihak yang menjual atau mengedar logo berkenaan kepada orang awam agar melaporkannya kepada polis supaya tindakan tegas boleh diambil,” katanya.

Beliau menambah, tindakan sewajarnya harus diambil dengan segera kerana perbuatan menggunakan logo polis oleh bukan anggota polis hanya akan mengelirukan orang awam selain tidak mustahil boleh menjejaskan imej polis.