Pelajar, guru SMK Suai berdepan krisis air

0

MIRI: Lebih 600 pelajar dan guru yang menetap di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suai, di Niah, dekat sini, berdepan dengan masalah ketiadaan bekalan air bersih sejak tiga bulan lepas.

Pengetuanya Abu Saran Sahari berkata, isu ketiadaan air bersih bukan sahaja telah menjejaskan pelajar yang tinggal di asrama sekolah, tetapi juga pelajar harian yang turut berdepan masalah sama apabila balik ke rumah masing-masing kerana ketiadaan air bersih.

Beliau berkata, krisis ketiadaan air tersebut telah menimbulkan tekanan kepada pelajar, sekali gus turut menjejaskan prestasi dan pencapaian mereka, seperti yang berlaku pada peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diadakan setiap bulan.

“Keputusan ujian percubaan telah jauh menurun iaitu jatuh kepada hanya 40 peratus kelulusan berbanding 60 peratus kelulusan yang dicatat sebelum wujudnya pelbagai tekanan akibat masalah ketiadaan air ini,” ujarnya mengadu ketika dihubungi tentang masalah tersebut, semalam.

Beliau berkata, sejak tiga bulan lepas juga (semasa krisis air melanda), pihak sekolah hanya bergantung sepenuhnya kepada bekalan air yang dihantar oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) setiap hari, namun ada kalanya mereka langsung tidak muncul menghantar bekalan air tersebut.

“Lori tangki (JKR) memang ada menghantar sekurang-kurangnya lima tangki air ke sekolah ini setiap hari kerana terdapat lebih 600 pelajar termasuk guru yang tinggal di asrama sekolah di sini.

“Tetapi adakalanya kami kecewa dan amat marah apabila ada ketikanya JKR hanya menghantar dua tangki air sahaja dalam sehari dan adakalanya sampai beberapa hari mereka langsung tidak datang untuk menghantar bekalan air,” tegasnya.

“Sebagai contoh hari ini (semalam), sehingga petang ini (sekitar jam 3 petang), kami sudah kehabisan bekalan air, tetapi bayang lori tangki yang menghantar air pun belum nampak lagi dan pelajar-pelajar saya di sini tiada setitik air pun untuk diminum dan memasak. Apatah lagi nak mandi,” ujarnya kesal.

Kali terakhir lori tangki JKR tersebut datang menghantar air ke sekolah berkenaan ialah pada Selasa lalu bersama dua tangki air sahaja dan air berkenaan sudahpun habis sehingga pagi semalam, kerana jumlah pelajar yang ramai tinggal di asrama.

“Bagaimana pelajar-pelajar saya terpaksa bertahan dengan keadaan seperti ini dan bayangkan betapa tekanan yang kami terpaksa hadapi,” tegasnya.

Menurut Abu Saran lagi, beliau tidak mungkin boleh mengarahkan pelajar asrama balik ke rumah dan turun sebagai pelajar harian kerana lokasi dan jarak perjalanan yang jauh, di samping krisis bekalan air yang bukan sahaja melanda sekolah berkenaan tetapi juga di seluruh kawasan Sepupok hingga ke rumah-rumah panjang mereka yang sudah disalurkan dengan air paip.

“Kami sudah tidak tahu apa lagi yang hendak dilakukan, saya sendiri rasa pilu dan tidak sampai hati melihat keadaan pelajar saya yang hidup tanpa air, terpaksa berjimat untuk air minum, tidak dapat memasak, mandi, mencuci baju dan sebagainya, apabila JKR tidak menghantar air hingga beberapa hari.

“Saya tidak menyalahkan pelajar-pelajar saya jika prestasi pembelajaran mereka menurun, kerana saya faham dengan keadaan dan tekanan yang dihadapi,” tambahnya.

Justeru, beliau amat berharap pihak berkaitan mengambil tindakan tegas dengan seberapa segera bukan sahaja demi pelajar sekolah tersebut yang tinggal di asrama malah pelajar harian dan penduduk di kawasan Sepupok dan Suai yang terjejas.

Menurut Abu Saran lagi, SMK Suai telah berdepan dengan masalah tekanan air yang rendah sejak ia dibina dan beroperasi lebih 10 tahun lalu, menyebabkan sebuah loji air terpaksa dibina bagi mengatasi masalah tersebut.

Bagaimanapun keadaannya menghampakan kerana sehingga hari ini, sekolah dan penduduk kampung serta beberapa penempatan di Sepupok, Niah masih berdepan dengan masalah air paip yang tidak ‘sampai’ ke rumah mereka.

Ramai penduduk mendakwa masalah tersebut disebabkan sambungan paip air yang dilaksanakan di loji air yang baharu oleh pihak kontraktor, tidak dapat berfungsi sepenuhnya sambil mereka berharap pihak berkaitan memantau segera pembinaan atau penyambungan paip tersebut.