Tembakan tersasar, pemuda terselamat

0

MIRI: Seorang pemuda terselamat daripada maut apabila tembakan daripada senapang patah yang dihala kepadanya tersasar.

Dalam cubaan bunuh yang berlaku di Pusat Komersil Centre Point di sini sekitar jam 3 petang semalam, mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an yang juga seorang ahli perniagaan, sedang berjalan kaki menuju ke keretanya, apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) berhenti tidak jauh dari situ.

Seorang lelaki yang duduk di tempat penumpang hadapan kemudian keluar dari kenderaan 4WD berwarna gelap tersebut dan mengacu senapang patah ke arah mangsa lalu melepaskan satu das tembakan.

Mangsa yang bernasib baik kerana tembakan tersebut tersasar, lalu melarikan diri sejauh 80 meter dari tempat beliau memarkirkan keretanya untuk menyelamatkan diri, manakala suspek meninggalkan tempat kejadian.

Mangsa telah menghubungi seorang rakan untuk mengambilnya lalu membawa beliau ke Balai Polis Pusat Miri bagi membuat laporan polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Miri Superintenden Stanley Jonanthan Ringgit yang ditemui pemberita di tempat kejadian memberitahu, polis masih menyiasat motif kejadian tersebut.

“Kita tidak mahu orang ramai membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis,” katanya sambil menambah suspek dipercayai lebih daripada seorang.

Beliau berkata, polis menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Ini merupakan kes tembakan yang kedua pada tahun ini, selepas kes pertama berlaku tidak jauh dari sebuah kompleks beli-belah di sini pada 8 Mac lalu.