Peluang terbaik akhiri kemarau kejuaraan

0

PARIS, Perancis: Perang Saudara Sepanyol bermula, filem Gone With the Wind mendapat tayangan laris dan Jesse Owens mengenepikan kebencian Hitler dan Nazi di Sukan Olimpik Berlin.

Semua itu berlaku pada 1936 dan ia juga tahun apabila Fred Perry menjadi juara tuan rumah perseorangan lelaki di Wimbledon.

Sekarang, 77 tahun sudah berlalu, Andy Murray dijangka akan menamatkan kemarau kejuaraan di Wimbledon, di mana 12 bulan yang lalu, impiannya berakhir dengan tangisan kekalahan tetapi ia berjaya ditebus dengan memenangi pingat emas perseorangan lelaki di gelanggang yang sama.

Selepas turut memenangi Terbuka Amerika (AS) pada tahun yang sama, Murray tahu ini mungkin peluang terbaiknya untuk memenangi kejuaraan Wimbledon.

“Dengan setiap tahun yang berlalu, anda tahu beberapa perkara yang mampu dan tidak mampu anda lakukan, dan apa yang berlaku dalam fikiran anda untuk kejohanan dan membuat persiapan sebaik mungkin,” kata beliau.

“Saya sudah mengharungi pengalaman secukupnya dan akan memulakan kejohanan Wimbledon tanpa sebarang isu.”

Murray, 26, memulakan penampilan kelapan di Wimbledon dengan keyakinan tinggi selepas memenangi kejuaraan Queens yang ketiga dan bebas dari kecederaan yang menyebabkan beliau tidak beraksi di Terbuka Perancis.

Beliau akan memulakan kejohanan dengan simpati dari seluruh negara selepas tidak dapat menahan sebak apabila tewas pada final tahun lepas kepada Roger Federer dan imej sebagai satu-satu pemain Britain dalam senarai 200 pemain terbaik dunia mula diterima ramai.

Namun beliau tidak mahu ia hanya sekarang imej dan menamatkan kemarau kejuaraan untuk pemain tuan rumah selain menyedari Federer, juara tujuh kali kejohanan, Rafael Nadal, juara dua kali dan pemain nombor satu dunia, juara 2011, menjadi penghalang utamanya.

“Hanya kerana saya memenangi Terbuka AS, ia tidak bermakna saya akan beraksi dengan hebat di sana atau kerana saya bermain dengan baik di permukaan rumput tahun lepas. Tiada jaminan dalam sukan,” kata pemain ranking kedua dunia itu.

Di zaman remajanya, beliau melangkah ke pusingan ketiga di Wimbledon pada 2005 dan ke pusingan 16 terakhir setahun lepas itu. Pada 2008, beliau melangkah ke suku akhir dan kemudian tiga kali berturut-turut ke separuh akhir sebelum berjaya ke final buat kali pertama pada tahun lepas.

Federer, pemegang rekod kejuaraan Wimbledon sebanyak 17 kali, boleh menjadi pemain pertama memenangi kejuaraan Wimbledon buat kali kelapan dan mengatasi rekod bersama Pete Sampras.

Tetapi beliau akan mencecah usia 32 tahun pada bulan Ogos sementara kali terakhir Sampras memenangi kejuaraan Wimbledon beliau ialah ketika berusia 28 tahun pada 2000.

Kejuaraan kelapan buat Federer akan menjadikan beliau juara kedua paling tua di Wimbledon dalam era Terbuka, di belakang Arthur Ashe, yang kurang enam hari sebelum ulang tahun kelahiran ke-32 apabila muncul juara pada 1975.

Federer, yang meraikan ulang tahun ke-10 kejuaraan pertama di Wimbledon, menegaskan bahawa beliau boleh bermain tanpa sebarang kerisauan.

“Sepuluh tahun yang lalu, saya memulakan kejohanan dengan banyak tekanan, walaupun saya tewas pada pusingan pertama pada tahun sebelumnya,” kata beliau.

“Dari segi mahu membuktikan saya mampu memenangi kejuaraan Grand Slam, saya mempunyai tekanan yang sangat tinggi ketika itu. Sekarang, 10 tahun berlalu, saya sudah mengenali Wimbledon, saya tahu apa yang perlu dilakukan dan bagaimana untuk menanganinya serta bermain dengan baik.”

Nadal, juara 2008 dan 2010, menolak peluang beliau memenangi kejuaraan ketiga di London walaupun beliau masih meraikan kejuaraan kelapan di Terbuka Perancis – di mana beliau menjadi pemain pertama memenangi satu kejohanan sebanyak lapan kali.

Jaguh Sepanyol itu bimbang dengan masalah lutut kirinya ketika bermain di permukaan tanah liat. Beliau tidak bermain di Wimbledon pada 2009 kerana kecederaan dan setahun yang lalu, beliau tewas di pusingan kedua kepada pemain tidak dikenali, Lukas Rosol.

Kekalahan itu memaksa Nadal berehat selama tujuh bulan selain tidak beraksi di Sukan Olimpik dan juga Terbuka AS dan Terbuka Australia.

“Saya pergi tanpa berlatih di permukaan rumput dan ia adalah satu permukaan di mana anda harus faham, belajar sekali lagi dan tahu cara untuk mengutip mata penting,” kata Nadal, yang sudah memenangi tujuh kejuaraan sejak kembali semula bermain pada bulan Februari lepas.

Bagi seorang pemain yang diletakkan sebagai pilihan pertama, Djokovic akan tiba di Wimbledon dengan diselubungi cakap-cakap tentang impian kejuaraan pertama Murray dan mencipta sejarah oleh Federer serta masalah kecederaan lutut Nadal.

Jaguh Serbia itu tidak bermain pada kejohanan pemanas badan Wimbledon, dengan memilih untuk berehat selepas tewas kepada Nadal di separuh akhir Terbuka Perancis.

Djokovic menewaskan Nadal pada final 2011 untuk kejuaraan tunggalnya di Wimbledon. — AFP