Serena cabar lawan agar menyamai pencapaian cemerlangnya

0

LONDON, England: Juara bertahan, Serena Williams mencabar lawannya untuk menyamai pencapaian cemerlangnya ketika memburu kejuaraan keenam di Kelab Seluruh England dan kejuaraan Grand Slam yang ke-17.

Jaguh Amerika Syarikat (AS), yang baharu memenangi kejuaraan kedua di Terbuka Perancis, mempunyai rekod 31 kemenangan berturut-turut, pencapaian terbaik dalam kerjayanya yang sudah memasuki abad ketiga.

Beliau sekarang hanya kurang dua kejuaraan di belakang rekod 18 kejuaraan yang dimenangi Chris Evert dan Martina Navratilova dan kurang empat di pendahulu keseluruhan, Steffi Graf yang memenangi 22 kejuaraan Grand Slam dan percaya beliau masih mampu memberikan yang terbaik untuk tahun-tahun akan datang.

“Saya benar-benar tenang. Saya menikmati setiap saat saya dalam gelanggang. Saya sentiasa berkata saya merasakan seperti saya tidak pernah bermain tenis,” kata pemain berusia 31 tahun itu, yang menjadi juara tertua di Terbuka Perancis dalam era Terbuka apabila menewaskan Maria Sharapova di final awal bulan ini.

“Saya merasakan saya boleh sentiasa meningkatkan lagi permainan dan sentiasa mahu sampai ke tahap itu. Mungkin saya hanya cuba untuk sampai ke tahap itu.

“Saya benar-benar percaya usia itu hanya satu angka kerana saya tidak pernah berasa begitu cergas. Saya berasa sangat hebat sekali.”

Statistik menyokong keyakinan Williams tentang prospek masa depannya.

Sejak kekalahan mengejut di pusingan pertama Terbuka Perancis tahun lepas, beliau sudah menang 74 dan 77 perlawanan dan memenangi kejuaraan di Wimbledon pada 2012 selain emas di Sukan Olimpik dan kejuaraan Terbuka AS.

Pada 2013, beliau memenangi 43 dari 45 perlawanan dan memenangi kejuaraan di Brisbane, Miami, Charleston, Madrid, Rom dan kemudian di Paris.

Keyakinan Williams adalah berita buruk untuk Sharapova, yang memburu kejuaraan Wimbledon kedua, sembilan tahun selepas kejuaraan pertama.

Kekalahan Sharapova di Terbuka Perancis adalah yang ke-14 dari 16 pertemuan menentang Williams, dengan kemenangan terakhir ialah pada 2004.

Juara Terbuka Australia, Victoria Azarenka dari Belarus, diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan dan mahu memperbaiki pencapaian melangkah ke separuh akhir pada dua tahun terakhir di sini.

Agnieszka Radwanska dari Poland, yang menang satu set ketika menentang Williams di final tahun lepas, diletakkan sebagai pilihan keempat tetapi kempen beliau di permukaan rumput bermula buruk Selasa lepas apabila disingkirkan dari kejohanan Eastbourne oleh pemain kelayakan AS, Jamie Hampton pada pusingan pertama.

“Saya menyukai kejohanan Wimbledon sejak masih kecil dan memenangi bahagian remaja kejohanan pada 2005,” kata Radwanska.

“Wimbledon adalah impian pada musim panas untuk hampir kesemua pemain profesional. Saya dan adik saya menyewa rumah berhampiran dan gelanggang latihan dan kami suka berjalan ke semua tempat – ke gelanggang, kedai dan restoran. Ia satu kawasan mewah yang tidak ada pada kebanyakan kejohanan besar. Dan interaksi dengan penyokong juga hebat.”

Seorang lagi pencabar kuat ialah juara 2011, Petra Kvitova.

Jaguh Republik Czech itu tersingkir di suku akhir oleh Williams tahun lepas dan masih belum melepasi pusingan keempat sebarang kejohanan Grand Slam sejak itu.

Diletakkan sebagai pilihan kelapan, beliau hanya menang satu kejohanan – di Dubai – sejak Ogos tahun lepas dan menyertai kejohanan di Eastbourne minggu ini.

Tetapi cabaran beliau berakhir awal apabila tewas kepada Yanina Wickmayer dari Belgium pada pusingan kedua Rabu lepas.

Jaguh China, Li Na, diletakkan sebagai pilihan keenam kejohanan dan mengetuai cabaran pemain dari Asia.

Pencapaian terbaik Li Na di Wimbledon ialah sampai ke suku akhir pada 2006 dan 2010, tetapi beliau tewas awal dalam dua tahun terakhir kejohanan.

Li Na berkata ia sukar untuk beralih dari permukaan tanah liat ke permukaan rumput dalam masa yang singkat.

“Di permukaan rumput, anda harus menggunakan kaki anda dengan lebih banyak, jadi saya memerlukan kekuatan lebih banyak di bahagian kaki saya,” kata beliau.

Venus Williams, juara lima kali kejohanan, tidak akan bermain tahun ini kerana masih merawati kecederaan belakang.

Svetlana Kuznetsova dari Rusia, juga menarik diri kerana kecederaan. — AFP