Beri perhatian, galakan didik anak

0

GERAN KERAJAAN: Simoi (kanan) menyampaikan geran kerajaan kepada Jamit (dua kiri) sambil diperhatikan oleh Mohd Lela (kiri), Nassir (belakang Simoi) serta guru-guru kanan yang lain pada majlis tersebut.

SRI AMAN: Ibu bapa perlu memberikan perhatian dan galakan dalam proses mendidik anak-anak, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri.

Menurut beliau, ramai pelajar yang berjaya dalam pelajaran adalah hasil didikan cemerlang ibu bapa, para guru dan pihak sekolah secara keseluruhan.

“Sebagai ibu bapa, kita harus memberi galakan kepada anak-anak kita sehingga mereka mencapai apa yang mereka inginkan,” ujarnya.

“Apa yang penting, apabila mereka sudah berjaya kelak, kita sebagai ibu bapa harus memberi insentif kepada mereka sebagai pencetus semangat dan dorongan agar mereka lebih berjaya.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman di sini pagi semalam.

Mengiringi beliau ialah Pengetua Sekolah Jamit Ajok, Penolong Kanan Mohd Lela Alamshah, Setiausaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Lingga Nasir Johan serta guru-guru kanan yang lain.

Simoi menjelaskan, gaya kehidupan lapuk iaitu membelakangkan pendidikan perlu ditinggalkan, sebaliknya ibu bapa perlu mengiktiraf bahawa pendidikan adalah teras utama bagi melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

“Tanpa ilmu pengetahuan yang mencukupi sukar untuk kita mencapai kejayaan yang cemerlang. Pendidikan adalah kunci untuk menjamin kesenangan pada masa depan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Simoi turut menyeru ibu bapa supaya menabung untuk kegunaan anak-anak pada masa hadapan, khususnya apabila mereka melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

“Kita sebagai ibu bapa seharusnya mengambil inisiatif untuk menabung sedikit wang bagi kegunaan masa depan anak-anak kita bermula sekarang.

Kita tidak mahu kalau anak kita berjaya melanjutkan pelajaran kelak, mereka tidak mempunyai wang yang mencukupi,” katanya.

“Wang tabungan sedikit sebanyak pasti akan meringankan beban kita untuk membayar yuran pengajian mereka sementara menunggu pinjaman mereka diluluskan.”

Tambahnya lagi, terdapat segelintir ibu bapa yang tidak menghantar anak-anak mereka belajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta dengan alasan tidak mempunyai kewangan yang mencukupi.

“Jika menabung diamalkan sejak dahulu lagi, kita percaya tiada masalah untuk merealisasikan hasrat anak-anak kita menjejakkan kaki ke menara gading,” kata Simoi.

“Wang untuk pendidikan ibarat pelaburan jangka panjang yang akan membawa keuntungan apabila anak-anak kita besar kelak,” tegasnya.

Pada majlis berkenaan, Simoi turut menyampaikan geran kerajaan bernilai RM8,000 kepada sekolah berkenaan bagi kegunaan menjalankan aktiviti sepanjang tahun mereka.