
PADAM BARA: Seorang anggota bomba memadam api yang memusnahkan dua buah rumah di Kampung Litong, Mukah semalam.
MUKAH: Sekelip mata, dua buah rumah di Kampung Litong di sini tinggal rangka selepas musnah dalam kebakaran yang berlaku sekitar jam 8 pagi semalam.
Dalam kejadian itu, seorang mangsa orang kurang upaya (OKU) Abdul Rais Hanapi, 25, anak kepada seorang ibu tunggal, gagal menyelamatkan diri daripada kebakaran dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Saksi, Fadzariah Abdul Rahman, 28, memberitahu pada mulanya mereka yang duduk di halaman rumah terhidu bau seperti getah terbakar dan tidak menyangka ia datang dari rumah jiran, iaitu rumah Salehah Ali.
“Selepas terhidu bau tersebut, adik saya keluar untuk memastikan dari mana datangnya bau tersebut. Apabila dia keluar dan menyedari rumah jiran kami terbakar, kami menjerit untuk meminta bantuan daripada orang kampung.
“Selang beberapa minit kebakaran bermula, kami terdengar satu letupan agak kuat yang dipercayai akibat letupan tong gas di rumah tersebut.
“Kami tahu rumah itu ada seorang OKU. Kami cuba membantunya yang terperangkap tetapi malangnya tidak berjaya,” kata Fadzariah sambil menambah, rumah tersebut turut berkunci.
Sementara itu, Salehah, 49 berkata dia tidak mengetahui kebakaran berlaku kerana pada waktu itu dia berada di tempat kerja.
Menurutnya, selain anaknya yang maut dalam kebakaran itu, kesemua dokumen penting gagal diselamatkan dan dia kini tinggal sehelai sepinggang.
Seorang lagi mangsa, Drahman Mut, 64, iaitu pemilik rumah bersebelahan rumah Salehah berkata, keluarganya berada di rumah semasa kejadian.
“Pada waktu itu, saya masih di Pasar Basah Mukah untuk menjual ikan, apabila saya diberitahu bahawa rumah saya terlibat dalam kebakaran, saya bergegas pulang ke rumah namun hanya mampu melihat api marak memusnahkan segalanya.
“Semua dokumen penting tidak dapat diselamatkan, namun saya tetap bersyukur kerana kesemua ahli keluarga saya selamat,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba Mukah Alimat Sam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.58 pagi dan tiba di tempat kejadian pada jam 9.12 pagi dengan sebuah jentera dan lapan anggota.
“Kita terpaksa menggunakan sumber air dari sungai kerana tekanan paip bomba di kawasan tersebut tidak kuat.
“Api dapat dikawal dengan mudah kerana angin tidak begitu kencang. Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya sekitar jam 10 pagi,” jelasnya.