Sekolah berperanan penting realisasikan aspirasi negara

0

SRI AMAN: Sekolah memainkan peranan sangat penting untuk merealisasikan aspirasi negara di samping sebagai tempat para pelajar menimba ilmu pengetahuan yang dapat melahirkan lebih ramai  rakyat yang berjaya dan menyumbang kepada agenda pembangunan negara.

“Bagaimanapun, usaha ini perlulah mendapat sokongan dan kerjasama erat daripada semua  pihak terutama daripada guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan masyarakat setempat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri.

Menurutnya abad ini telah menjanjikan pelbagai kemungkinan kepada kita di mana kepesatan  teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) melahirkan fenomena globalisasi dunia tanpa sempadan.

“Untuk menikmati kejayaan berterusan dalam persekitaran global yang mencabar ini, kita  perlu menyedia dan melengkapkan diri para pelajar dengan pelbagai ilmu pengetahuan,  kemahiran tinggi yang inovatif, memiliki jati diri dan beretika secara berterusan dalam  usaha untuk mempertingkatkan keupayaan generasi muda untuk menangani perubahan dan cabaran  dengan cekap dan berkesan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Integrasi Murid Untuk  Perpaduan (RIMUP), Majlis Sambutan Hari Guru dan Gawai Ngiling Tikai 2013 anjuran Sekolah  Kebangsaan (SK) Sri Aman di Dewan Inspirasi Lestari sekolah berkenaan dekat sini  kelmarin.

Katanya untuk memperkasakan pelbagai ilmu pengetahuan, kebolehan berkomunikasi terutama  dalam bahasa Inggeris dan penerapan pelbagai kemahiran di kalangan pelajar-pelajar menjadi  agenda utama bagi sesebuah sekolah.

Bagaimanapun katanya, penguasaan ilmu dan berketerampilan sahaja tidak mencukupi  seandainya faktor nilai-nilai murni tidak dijadikan pedoman.

“Nilai-nilai moral inilah  yang akan memberi petunjuk dan pedoman kerana ia merupakan inti pati sahsiah yang sangat  penting sebagai pegangan generasi muda untuk menempuh kehidupan yang penuh cabaran ini,” katanya.

Tambah Simoi lagi, pembangunan modal insan ini perlu dirancang dengan teliti dengan  mengambil kaedah menyeluruh dan bersatu. Segala bakat dan potensi para pelajar dapat  dibangunkan dengan efektif.

“Kita tidak mahu melahirkan ulat buku yang hanya cemerlang dari segi akademik semata- mata, sebaliknya generasi yang seimbang perkembangannya dari segi jasmani, emosi,  rohani dan intelektual, mempunyai disiplin diri yang tinggi, berketerampilan, patriotik  dan tidak bersikap individualistik malah mampu memainkan peranan dalam masyarakat.

“Usaha ini selaras dengan dua daripada enam teras strategik Pelan Induk Pembangunan  Pendidikan iaitu membina negara bangsa dan membangunkan modal insan. PIPP merupakan  wadah terbaik sebagai pemangkin kepada wawasan kerajaan untuk mencapai status negara  maju menjelang tahun 2020,” katanya lanjut.

Justeru, gandingan mantap antara pihak sekolah dengan pihak PIBG  akan menjadikan sekolah lebih beraspirasi untuk meningkatkan pencapaian akademik dan  kokurikulum pelajar agar terus cemerlang serta dapat meningkatkan penglibatan dan rasa  keupayaan ibu bapa serta komuniti terhadap sekolah.

Hubungan rapat dan mesra ini akan  meningkatkan iklim pembelajaran yang kondusif yang faedahnya akan dinikmati oleh para  pelajar,” katanya lagi.

Turut hadir Pegawai Pelajaran Daerah Bihud Apok, Guru Besar  Abang Nurfuad Abang Nurol, Yang Dipertua PIBG Dickie Issac, guru-guru kanan,  ibu bapa serta pelajar sekolah terbabit.

Pada majlis berkenaan, Simoi telah mengumumkan peruntukan kerajaan berjumlah RM5,000  kepada PIBG sekolah berkenaan menjalankan aktiviti sepanjang tahun mereka.