Jambatan baharu untuk penduduk Tudan siap

0

SIAP: Hii memukul paku terakhir tanda simbolik pembukaan jambatan Tudan disaksikan oleh Alias (tengah) bersama penduduk kampung dan kaunselor MBM.

MIRI: Jambatan baharu untuk penduduk Tudan Fasa Empat dan Lima siap dibina selepas penantian selama lebih 20 tahun.

Wakil penduduk Alias Julaihi memberitahu, jambatan kayu itu siap dibina kelmarin dalam tempoh kurang tiga bulan.

Beliau berterima kasih kepada usahawan Hii King Chiong dan Pusat Khidmat beliau atas usaha memaklumkan kepada pihak kerajaan tentang keperluan penduduk di kawasan itu.

“Kita mengucapkan ribuan terima kasih kepada Encik Hii kerana begitu prihatin terhadap nasib dan keperluan penduduk. Beliau telah menunaikan janji beliau,” jelas Alias.

Jambatan kayu tersebut yang berukuran 80 kaki panjang dan 12.4 kaki lebar hanya boleh dilalui oleh kereta dan motosikal.

Sebelum ini, penduduk bergantung harap kepada sebuah jambatan kecil yang uzur dan laluan pejalan kaki konkrit yang hanya boleh digunakan oleh motosikal untuk ke Permyjaya.

Bagi pemilik kereta, mereka terpaksa memandu jauh untuk menghantar anak-anak yang bersekolah di SK Merbau, SJK Chung Hua Tudan, SMK Tudan dan SMK Merbau yang terletak di Permyjaya.
Alias berkata, kenderaan berat seperti lori seberat lima tan tidak dibenarkan menggunakan jambatan itu.

Sehubungan itu, Hii menasihatkan penduduk untuk bersama menjaga jambatan itu dengan baik.

“Kalau mereka gembira, saya pun berasa gembira. Itu yang paling penting,” jelas Hii.

Hii turut berterima kasih kepada Menteri Muda Perhubungan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin, Datuk Bandar Lawrence Lai dan Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana menjayakan pembinaan jambatan itu.

MBM turut memasang empat lampu jalan yang menggunakan tenaga solar untuk menerangi laluan dari jambatan ke kawasan perumahan Desa Pujut Permyjaya.

Sebelum ini, pengguna motosikal kerap kemalangan di laluan itu khasnya pada waktu malam kerana ketiadaan lampu jalan.
Kawasan lalang di sepanjang laluan juga dijadikan sarang persembunyian peragut yang meragut penduduk khasnya wanita yang melaluinya pada waktu malam.

Laluan sejauh 500 meter itu juga akan dinaik taraf untuk melicinkan perjalanan ulang-alik penduduk.