JTK sasar 10,000 kekosongan jawatan diisi di Sarawak tahun ini

0

LIMBANG: Jabatan Tenaga Kerja  (JTK) Sarawak menyasarkan 10,000 kekosongan jawatan bakal disi pencari kerja di negeri ini, manakala 1,000 lagi kekosongan diisi pencari kerja di bawah bantuan 1AZAM melalui Program Penempatan Pekerjaan AZAM Kerja 2013 (PPPAK) yang dilaksanakan di Sarawak sepanjang tahun ini.

Penolong Kanan Pengarah Tenaga Kerja Limbang Bibi Diana Abdul Manaf berkata, sasaran itu berdasarkan sambutan menggalakkan daripada PPPAK yang dilaksanakan di beberapa kawasan di negeri ini pada tahun ini.

Jelasnya, di utara wilayah Sarawak, program penyesuaian kerjaya telah dilaksanakan selama tiga hari dari 19 hingga 21 Jun lalu membabitkan golongan bantuan 1AZAM dan penempatan pekerjaan bagi pencari kerja yang dilaksanakan semalam.

“Pencari kerja bantuan 1AZAM turut diberi kursus, motivasi dan bimbingan pada penyesuaian kerjaya dan penempatan pekerjaan melibatkan keseluruhan pencari kerja di bahagian ini,” katanya ketika ditemui pada Program PPAK di sebuah hotel di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Ibu Pejabat JTK Sarawak, Aminah Mustapha.

Mengulas lanjut, Bibi Diana menjelaskan sebanyak 26 majikan menyertai program itu daripada pelbagai sektor industri dan swasta menbabitkan 392 kekosongan jawatan ditawarkan.

“Kita menerima respons menggalakkan daripada lebih 2,000 pencari kerja yang hadir untuk mengisi kekosongan yang ditawarkan sejak dari awal pagi.

“Daripada jumlah tersebut seramai  65 pencari kerja bantuan 1AZAM berjaya menghadirkan diri dan 31 daripada mereka sudah mendapat pekerjaan setakat pagi semalam,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, program PPAK 2013 yang diadakan setiap tahun bertujuan untuk mempertemukan pencari kerja dengan majikan yang menawarkan pekerjaan.

Selain itu, ia juga dapat menyediakan khidmat nasihat, bimbingan dan latihan terutama melibatkan agensi kerajaan yang turut serta pada program itu.

“Program ini menjadi medium penting kepada majikan untuk mencari pekerja selain meningkatkan kualiti mencari kerja di bahagian ini,” katanya.

Bibi Diana menambah, program tersebut sangat sesuai dilaksanakan bagi memudahkan golongan belia dalam kalangan pelajar lepasan sekolah menengah, kolej dan universiti mencari pekerjaan.

Jelasnya, kebanyakan kekosongan jawatan adalah bersesuaian dengan kelayakan pencari kerja terutamanya melibatkan pelajar sekolah.