Piala Datuk Patinggi Jabu 2013 selepas Hari Raya Aidilfitri

0

BETONG: Setiap pasukan harus bersedia dalam membentuk pasukan yang mantap dan berjaya serta boleh membawa cabaran Betong pada kejohanan Liga Juara-Juara Sarawak yang akan diadakan di Bintulu pada Oktober nanti.

Hasrat untuk melihat pasukan dan kelab bolasepak dari Betong merangkul kejuaraan dalam pertandingan diperingkat yang lebih tinggi disuarakan oleh Presiden, Persatuan Bolasepak Bahagian Betong(BDFA), Nelson Kloni.

“Untuk mencapai kejayaan dalam pertandingan yang disertai, setiap pasukan haruslah berani mencuba serta mempunyai pengurusan yang kukuh dalam menempa nama sebagai sebuah pasukan yang akan sentiasa disebut peminat dalam arena bola sepak tempatan.

Kloni yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak(FAS), melahirkan hasrat untuk melihat pemain kelahiran Betong menjadi nadi bola sepak negeri dan dapat digilap menjadi bintang ternama serta menyarung jersi kebangsaan.

“Tidak hanya setakat bermain di kelab dan liga tempatan tetapi pemain harus ada keberanian untuk mencuba menambah baik kemahiran diri dan fokus kepada bidang sukan yang diceburi,” ujarnya Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat bersama pengurus pasukan yang bertanding pada kejohanan Liga Betong-Naim dan Piala Datuk Patinggi Jabu yang diadakan disebuah Hotel terkemuka disini kelmarin.

Mesyuarat tersebut membangkitkan persiapan penganjuran Piala Datuk Patinggi Jabu yang akan diadakan selepas selesai pertandingan Liga dimana hanya tinggal satu sahaja lagi perlawanan untuk setiap pasukan bagi melengkapkan jadual.

“Kita menetapkan pertandingan Piala Datuk Patinggi Jabu akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Ini kerana, masa yang singkat selepas pertandingan liga iaitu perlawanan terakhir liga adalah pada 1 Julai nanti sebelum bermulanya bulan Ramadan.